NAMPAKNYA RAKYAT KENA PUJUK DIRI SENDIRI

SHAH ALAM – “Kasihan rakyat yang terpaksa telan berita macam ini untuk pujuk diri sendiri,” berikut luahan kata-kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara-negara Asean.

Namun menurut Siti Mariah, hakikatnya rakyat yang saban hari menanggung keperitan kos sara hidup yang ‘rendah’ itu.

“Bukan main seronok PM heboh pada seluruh negara yang kos sara hidup kita paling rendah di Asean, sedangkan rakyat yang harus pujuk diri dan keluarga setiap hari tanggung keperitan ini.
“Beginilah caranya pemimpin negara kita memandang rendah terhadap rakyat yang terpaksa hidup dengan tekanan ekonomi yang sebenarnya semakin kuat mencengkam,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara-negara Asean mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kos sara hidup di Malaysia terendah di Asean]

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam  mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh  Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

– SH