NAMA CALON PENGERUSI MARA DISERAH PADA PM

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyerahkan senarai nama pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa calon yang layak untuk menggantikan Tan Sri Annuar Musa, yang tidak mahu menyambung jawatannya itu.

“Saya akan berbincang dan menyerahkan dua atau tiga nama. Terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan (siapa pengerusi MARA yang baharu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan persidangan perwakilan Umno bahagian Pasir Puteh semalam.

Annuar, yang juga anggota Parlimen Ketereh dan ketua penerangan Umno menyatakan beliau tidak akan menyambung jawatan sebagai pengerusi MARA, yang tamat semalam bagi memberi tumpuan terhadap parti.

Menghargai jasa Annuar kepada MARA, Ismail Sabri, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata adalah lebih baik Annuar menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap parti memandangkan pilihan raya Umum ke-14 semakin hampir.

Annuar dilantik sebagai pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 dan perkhidmatannya disambung pada 12 Ogos 2015.
Bagaimanapun, beliau digantung jawatan pengerusi MARA sejak Januari lepas berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan.

– Bernama

.