NAK TOLONG MELAYU – KU NAN ‘SALAH NEGERI’

Jika benar-benar mahu membantu Melayu, negeri yang perlu dijadikan Wilayah Persekutuan bukanlah Pulau Pinang, sebaliknya Kelantan dan Terengganu, kata seorang anggota parlimen DAP.

Bagi membolehkan ia dilaksanakan, menurut Lim Lip Eng, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong dan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja sebelum mengadakan referendum berhubung isu berkenaan.

“Jika satu-satunya agenda Ku Nan (Tengku Adnan) ialah untuk menolong Melayu, beliau mungkin sudah tersalah negeri.

“Ini kerana kedua-dua negeri yang majoriti Melayu itu (Kelantan dan Terengganu) adalah antara negeri paling miskin dalam negara.

“Paling tidak Ku Nan harus terkedepan dalam usaha mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan, agar negeri itu boleh berhenti menjalankan aktiviti balak secara berleluasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam wawancara dengan stesen radio BFM pada 1 Februari lalu Tengku Adnan berkata beliau berharap konsep wilayah persekutuan boleh “dikembangkan” kepada wilayah atau negeri lain.

“Saya ingin mengembangkan Wilayah Persekutuan. Jika boleh, saya mahu ambil Langkawi, Pulau Pinang, dan bahagian tertentu Melaka,” katanya dalam temu bual stesen radio berbahasa Inggeris itu.

Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno memberikan temubual berkenaan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Tak pedulikan Melayu

Kenyataan itu dibalas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sehari kemudian.

“Hanya orang yang hilang akal akan cakap macam ini,” kata Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP.

Menurut beliau cadangan Tengku Adnan itu juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana dilihat memberi ancaman terhadap perpaduan negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia.

“Apa yang dikatakan (Ku Nan) tanpa sebarang rundingan mengancam perpaduan dan persekutuan Malaysia.

“Ini boleh dianggap sebagai hasutan. Sebab kamu mengancam perpaduan persekutuan Malaysia,” katanya.

Pada 4 Februari Tengku Adnan menjelaskan, hasratnya menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan adalah untuk memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Katanya, berkata idea beliau itu bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa, sebaliknya disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu di Pulau Pinang.

“Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu,” katanya.

Menurut Lip Eng, Tengku Adnan perlu sedar bahawa orang Melayu yang hidup susah bukan saja ada di Pulau Pinang.

Jika mahu membantu mengurangkan beban rakyata yang benar-benar memerlukan mereka juga bukan hanya ada di negeri berkenaan.

“Ramai lagi yang susah, termasuk orang kelainan upaya, warga emas, penganggur dan gelandangan di seluruh Malaysia. Malah ramai daripada mereka berpusat di Kuala Lumpur yang ‘diperintah’ Ku Nan.

“Mereka seharusnya dibantu agar dapat membeli barang dapur tanpa dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), contohnya.
“Sewaktu kerajaan BN membebani rakyat dengan GST, tidak pula Ku Nan terfikir untuk membantu orang Melayu yang ikut terbeban,” katanya.

Lip Eng yang juga anggota parlimen Segambut memberitahu, sepatutnya Tengku Adnan boleh mendatangkan alasan yang lebih baik.

“Atau paling tidak memberitahu rakyat Pulau Pinang bahawa Umno akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang negeri itu daripada terus ditadbir Pakatan Harapan; termasuklah dengan menjadikannya salah satu Wilayah Persekutuan,” katanya.

– M’kini

.