NAK SEMULA RM40,000, LELAKI TUMBUK MUKA IBU TUA

PASIR SALAK – Seorang lelaki menumbuk muka ibunya yang berusia 67 tahun kerana warga emas itu gagal mengembalikan wang RM40,000 miliknya.

Tumbukan “padu” dua kali mencederakan pipi dan lidah mangsa selepas anak sulung, 48 tahun, menyerangnya di rumahnya dekat Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini, lapor Kosmo!.

Ketua polis daerah Perak Tengah berkata suspek yang berang turut mengugut bunuh menggunakan parang dalam kejadian jam 10.45 pagi kelmarin.

“Wang sebanyak RM40,000 milik suspek digunakan untuk mengubah suai rumah keluarganya baru-baru ini,” kata Supt Mohamad Zainal Abdullah.

“Namun ibunya tidak berkemampuan untuk memulangkan kembali duit tersebut.”

Mangsa kemudian membuat aduan di balai polis Jejawi di sini. Suspek ditahan pada jam 6.30 petang hari kejadian dan direman empat hari bermula semalam.

Mohamad Zainal berkata polis turut merampas parang yang digunakan suspek. Kes disiasat bawah 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

– Malay mail

.