NAJIB ZIARAH ANWAR TAK UG?

Politik matang dan sejahtera yang digagas Tuan Guru Abdul Hadi Awang dipraktik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mengunjungi musuh politik ketatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan di hospital.

Perdana Menteri dan isterinya disambut oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail di wad suaminya Anwar.

Memang politik tinggi, dan matang pada pandangan setengah, seorang ketua kerajaan ziarah seorang yang mahkamah sabitkan layak jadi banduan, seorang ahli politik besar yang uzur di hospital.

Mungkin boleh disamakan dan tindakan matang Almarhum Sultan Kedah ziarah pusara As-Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakan yang jamaah ulama rasmi Kerajaan Kedah putuskan sebagai ‘bughah’ – penderhaka.

Mana mungkin Sultan ziarah pusara penderhaka dan di mana kunjung banduan yang mahkamah sabitkan jenayah yang tak terkata? Melainkan matang yang payah difaham.

Hikmahnya mungkin ada, menenangkan suasana yang tegang. Besar pahala tak terkira ziarah orang yang uzur.

Saya mendengar kaset riwayat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang puluhan tahun dulu, betapa 70 ribu malaikat sentiasa berada di sisi seorang pesakit. Apabila datang pelawat, maka sekalian malaikat mendoakan keampunannya.

Melupakan segala yang terjadi, logiknya besar pahala Najib dan isteri peroleh dari ziarah ke atas seteru politik utamanya.

Tiada desas-desus

Tuhan yang tahu ziarah itu ibadat atau semata-mata suka-suka.

Akan tetapi sesiapa yang didoakan keampunannya oleh malaikat tentu beroleh bahagia. Doa malaikat tentulah diterima Allah kerana malaikat itu tidak buat hal-hal yang tidak diizin Allah.

Maka sedap memperbanyak takwil atas apa jua yang dilihat sebagai ibadat.

Yang jelas kunjungan Najib itu tidak memberi apa-apa kesan kepada politik Anwar Ibrahim. Itulah hebat dan lebihnya Anwar daripada yang lain.

Tiada siapa akan kata keduanya sudah berpakat. Tiada akan kata Anwar akan masuk Umno dan akan kembali bersama kerajaan.

Belum tentu tiada spekulasi sekiranya Najib ziarah juga yang selalu masuk hospital itu. Adalah yang orang akan desuskan.

Tok Guru Haji Hadi, dengan zuhudnya patutnya kebal dengan unsur fitnah. Tapi beliau tidak sekebal Anwar. Orang tak akan ada apa-apa bila Najib mengunjungi Anwar.

Tapi apabila Najib mengunjungi Haji Hadi dan AlMarhum Dr Haron Din di hospital dulu, heboh orang kata PAS hendak masuk UMNO dan Guan Eng pula yakin sangat PAS sudah bersatu dengan Najib.

Najib pun tak percaya

Tidak sekadar yakin sangat Tok Guru dan PAS sudah masuk Umno, percaya juga PAS telah dibagi duit RM90 juta.

Percaya pula kebanyakannya PAS sudah dijual kepada Umno. Semua penafian tidak dipercayai. Katakanlah Tuan Guru Haji Hadi bersumpah junjung Quran, pun mereka tidak percaya.

Mungkin sampai mati pun mereka tidak percaya.

Najib pun tidak pernah percaya dan tidak penah memikirkan PAS dan Haji Hadi akan membawa penyokongnya masuk UMNO.

Apa yang Najib mahu bukan PAS dan Tok Guru masuk Umno, tetapi kalau semua orang boleh kata dan percaya beliau sudah bersama Umno, maka itulah yang Najib suka.

Tidak perlu PAS berbaik dengan Umno. Cukup dengan semua orang kata PAS sudah bersama Umno.

Akan tetapi Najib tahu dan tak mahu Anwar bersama Umno, dia percaya orang tidak percaya Anwar akan masuk Umno. Tetapi dengan mengunjungi Anwar dia dapat melihat Anwar, ketuanya dulu, untuk lepas rindu.

SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily.

– M’kini

.