NAJIB YANG MENYUSUKAN CHINA

Tidak ada satu pun kaum di negara ini akan selamat, kalau Malaysia itu sendiri tidak diselamatkan!

Masalah hari ini bukan masalah orang Melayu yang kononnya terancam, tetapi masalah sebenar adalah Malaysia yang kini sedang terseret ke dalam pelbagai kemelut pentadbiran, politik dan ekonomi.

Tidak sampai sebulan sebelum perhimpunan agung Umno minggu lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengadakan lawatan rasmi ke republik komunis China dan bertemu dengan presiden Xi Jinpin. Di sana, beberapa perjanjian persefahaman dimeterai yang dilaporkan melibatkan kira-kira RM143 bilion nilai pelaburan. Jumlah itu mungkin besar bagi Putrajaya, tetapi bukanlah terlalu besar untuk sebuah negara sebesar republik komunis China.

Di sebalik perjanjian dan hubungan akrab Najib-China, republik komunis berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedang galak mahu menguasai Laut China Selatan. Salah satunya apabila China secara senyap-senyap menambak laut dan membina pangkalan tentera di kepulauan Paracel.

Tuntutan China terhadap atas kepulauan Spratly juga masih berterusan. Kedua kepulauan tersebut terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Laut China Selatan yang bukan sahaja menjadi sumber tangkapan laut, minyak dan gas, tetapi sudah tentu sebagai kawasan strategik mengawal hubungan laut dengan kuasa ketenteraan.

Nelayan sama ada dari Filipina, Vietnem, Malaysia atau mana-mana negara terdekat akan diberkas sekiranya menangkap ikan di kawasan kepulauan berkenaan tanpa kebenaran China. Begitulah kerasnya pemaksaan kuasa yang mula dilaksanakan China di kedua pulau berkenaan yang kedudukannya beribu batu daripada sempadan pantai China.

Sebelum pertemuan Najib dengan Xi Jinpin, keadaan agak sukar bagi China menerobos dan menuntut sepenuhnya hak ke atas dua kepulauan berkenaan. Sehingga sebelum lawatan Najib, tidak ada seorang pun pemimpin negara ASEAN yang nampaknya boleh ‘dibeli’ oleh republik komunis China.

Ikatan dan semangat negara-negara ASEAN sebelum ini sangat kuat. Walau tidak ada sebuah pun negara ASEAN sekuat China, namun kesatuan ASEAN jualah yang membuatkan suara ASEAN kekal terhormat. Banyak urusan dalaman ASEAN diselesaikan dengan semangat dan cara ASEAN sendiri seperti konflik di Selatan Thailand, isu pengganas di utara Sabah dan Mindanao serta konflik puak pemisah Aceh di Indonesia dalam tahun 1980 dan 90-an dahulu.

‘Orang dalam’

Hanya dengan bantahan secara bersama atas nama ASEAN, maka suara negara-negara ASEAN lebih terdengar dan tidak mudah untuk diketepikan begitu sahaja oleh mana-mana kuasa luar, termasuklah China. Oleh itu sebagai strategi politik, China memang perlu mencari jalan memecah-belahkan perpaduan ASEAN yang wujud puluhan tahun.

Berusaha ke arah itu, China perlulah mencari-cari dan mempunyai “orang dalamnya” untuk melemahkan ASEAN dari dalam ASEAN. ASEAN tidak boleh dilemahkan dari luar.

Maka tidak hairan bagaimana China melihat bahawa lawatan dan keterdesakan Najib untuk mendapat wang dari China sebagai peluang terbaik. Ini strategi serampang dua mata apabila mereka sedar bahawa Najib dalam waktu sama sangat terdesak memperoleh pelabur luar terutama selepas Najib tercalit skandal besar 1MDB. Selain itu, Putrajaya juga semakin kekeringan dana yang boleh dilihat di dalam Bajet 2017 di samping kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit.

Tidak sampai sebulan sejurus pulang daripada lawatan ke China, Najib segera pula menggunakan pentas perhimpunan Agung Umno untuk melancarkan serangan terhadap sebuah parti yang berasaskan kaum Cina dalam negara, iaitu DAP. Maknanya, Najib tahu yang dalam waktu sama beliau harus menghidupkan api dan sentimen perkauman menutup mata khususnya orang Melayu setelah beliau menjalin hubungan akrab dengan Republik Komunis China. Najib juga cuba menuding bahawa parti-parti oposisi menjadi alat George Soros sedangkan yang jelas nyata Putrajaya yang mendakap Beijing.

Menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan rakyatnya sendiri bagaimana tidak dapat menutup fakta bagaimana sejumlah lebih RM55 bilion dipinjam dari China untuk menjalan projek landasan kereta api Pantai Timur (ECRL). Bentuk pinjaman dan projek inilah yang lebih bersifat menjual maruah negara berbanding menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan warganegara Malaysia yang sah.

Langkah politik yang lebih kelam kabut oleh Najib menyusul sehari selepas perhimpunan agung Umno apabila beliau menggerakkan dan hadir pula satu perhimpunan yang dikatakan untuk membela nasib orang Rohingya. Di pentas ucapan yang turut dihadiri presiden PAS, Najib dengan nada keras melontarkan peringatan kepada pemerintah Myanmar berhubung layanan dan nasib etnik Rohingya di sana.

Ucapan Najib itu sangatlah bersifat tidak diplomatik. Sebagai ketua negara beliau boleh menggunakan saluran antara kedua kerajaan untuk menyelesaikan masalah kaum Rohingya. Najib tidak menggunakan saluran itu dan memilih jalan berhimpun untuk menunjukkan kekuatan.

Curiga ASEAN

Ketua cawangan parti apapun boleh membaca dan takkan mudah terperangkap dengan taktik politik Najib yang sebenarnya tidak lebih hanya untuk memainkan sentimen kalangan Melayu-Islam dan bukanlah serius mahu menuntaskan masalah penindasan terhadap kaum Rohingya di Myanmar.

Di ketika ASEAN diasak oleh kuasa besar seperti China, agak menghairankan apabila Najib memilih jalan untuk menimbulkan masalah di dalam negara ASEAN. Tindakan sebegitu tentu akan menimbulkan keraguan apakah beliau kini telah benar-benar diperbudakkan oleh China hanya semata-mata untuk membereskan beban yang melingkari dirinya, termasuklah hutang dan skandal 1MDB?

Pandangan sedemikian bukan sahaja boleh wujud dalam negara, tetapi juga di kalangan pemimpin negara-negara ASEAN kala mana isu etnik Rohingya tidak pula dibangkit secara serius oleh Najib ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, November tahun lalu. Tindak-tanduk PM Najib sebagai pemimpin nombor satu Malaysia sesungguhnya semakin meletakkan Malaysia dalam keadaan dicurigai oleh semua jiran-jiran se-ASEAN kita sendiri.
Pada tingkat inilah, Najib nampaknya bukan sahaja tergamak menjual kedaulatan dan maruah Malaysia kepada kuasa luar seperti China, tetapi lebih jauh daripada itu dia tergamak pula memperjudikan kestabilan ASEAN, yakni sebuah kesatuan negara-negara Asia Tenggara yang diusahakan dan turut ditubuhkan oleh allahyarham bapanya sendiri.

Politik perkauman sempit ala-Najib yang ditunjukkan menjelang pilihan raya umum sesungguhnya takkan menyelesaikan semua masalah di atas. Jalan terakhir tidak lain tidak bukan adalah sekali lagi kembali kepada laungan perpaduan Melayu, sedangkan yang lebih penting untuk diselamatkan adalah Malaysia. Tanpa Malaysia yang dapat diselamatkan, Melayu juga tidak akan selamat. Titik.

– M’kini

.