NAJIB USAH LAYAN DEBAT NOTHING TO HIDE 3

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu melayan cabaran debat secara terbuka oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui program Nothing To Hide 3.

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, seperti semua pihak sedia maklum, penganjuran program Nothing To Hide 2.0 sebelum ini telah menunjukkan kegagalan di mana tercetus tindakan provokasi melampau dalam kalangan ahli parti tersebut.

 “Program Nothing To Hide 2.0 lalu telah berlaku kejadian baling kerusi, membakar suar serta perbalahan di dalam dan luar dewan.

“Secara jelas kita lihat kegagalan mereka menganjurkan satu program, baik dari segi pelaksanaan mahu pun tahap keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi catatan terbaru dalam blognya, Mahathir mencabar perdana menteri berdebat secara terbuka melalui program Nothing To Hide 3 bagi membolehkan Najib membuktikan segala kritikannya terhadap kerajaan  selama ini tidak benar.

Sehubungan itu, Armand memaklumkan bahawa majoriti rakyat sudah muak dengan cara pembangkang yang hanya bermain politik kebencian selama ini.

“Jadi bagi saya, perdana menteri tidak perlu layan cabaran Tun Mahathir. Lebih baik perdana menteri fokus gerak kerja membantu rakyat dan terus majukan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Armand berkata pembangkang sering kali menuding jari kepada Umno di atas kegagalan mereka dalam menganjurkan sesuatu program.

Beliau berkata, menerusi program Nothing To Hide 2.0 sebelum ini, pelbagai fitnah dan makian dibuat terhadap Umno bagi menutup kegagalan pelaksanaan program debat berkenaan.

– Sinar Harian

.