NAJIB, UMNO/BN KEDAH ADAKAN PERTEMUAN TERTUTUP’

ALOR SETAR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno serta pemimpin BN Kedah di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.

Pertemuan itu, yang bermula pada 9 malam berakhir kira-kira sejam kemudian, turut dihadiri Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut menghadiri pertemuan itu ialah Adun, ketua-ketua Umno Bahagian, pemimpin parti komponen BN dan sayap parti.

Bagaimanapun tiada kenyataan dikeluarkan sehingga kini mengenai pertemuan itu.

Terdahulu Najib yang juga Pengerusi BN menghadiri majlis makan malam bersama lebih 200 pimpinan Umno dan BN negeri di hotel sama.

Pertemuan tersebut merupakan program terakhir Najib di Kedah dalam rangka lawatan kerja seharinya,  sebelum berangkat pulang ke ibu negara.

Pagi tadi beliau menghadiri jadual yang padat dengan bersarapan dengan penduduk kampung di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah dan melawat pasar nelayan di kampung berkenaan yang merupakan antara jeti pendaratan hasil laut paling terkenal di negeri ini.

Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan tertutup dengan barisan kepimpinan negeri di Wisma Darul Aman dan menghadiri perhimpunan penjawat awam di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti sebelum melawat loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman di Pokok Sena.

Najib turut melawat rumah seorang penoreh getah, Mansor Salleh, 60, di  Kampung Belukar, Pokok Sena sebelum menghadiri program bersama rakyat bagi menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

– Bernama

.