NAJIB TERUS DIMALUKAN!

Malaysia yang dipimpin oleh Najib Razak ternyata semakin lembab dan seakan-akan hilang punca dalam mengurus hubungannya yang kian  menegang dengan Myanmar.
Setelah lebih 24 jam masa berlalu dan sehingga ini belum ada penjelasan rasmi, sama ada oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri mahupun Kementerian Pertahanan berhubung pertemuan Panglima Angkatan Tentera, Jenderal Zulkifeli Mohd Zain dengan Presiden Myanmar, U Htin Kyaw dan Ketua Angkatan Tenteranya, Min Aung Hlain di Yangoon yang didakwa untuk memulihkan hubungan, terbaru ini negara itu mengambil langkah lebih ke depan dengan serta-merta menghentikan penghantaran pekerjanya ke Malaysia.
Langkah itu diambil sebagai bantahan kerana kecaman Najib ke atas Aung San Suu Kyi dalam ucapan Solidariti Rohingya di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Ahad lalu.
Lebih terbaru, Duta Besar Malaysia di Myanmar, Mohd Haniff Abd Rahman juga dipanggil oleh Menteri Hal Ehwal Luar Myanmar,  U Kyaw Tin bagi melahirkan rasa kesal ke atas Najib.
Myanmar bukan saja kesal dengan kehadiran Najib dalam himpunan solidariti Rohingya itu, tetapi juga terhadap ucapan Perdana Menteri yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Tidakkah kedua-dua tindakan Myanmar itu memalukan Malaysia?
Bukankah kita yang sepatutnya terlebih dahulu menghentikan pengambilan pekerja Myanmar serta lebih awal lagi memanggil duta Myanmar untuk menyampaikan nota bantahan atas kekejaman yang dilakukan kepada etnik Islam Rohingya?
Kenapa Najib begitu perlahan dan terhegeh-hegeh mahu bertindak sebagai tanda pembelaan serta sokongan kepada umat Islam Rohingya?
Di mana keberanian Najib?
Mengapa tidak berbuat apa-apa sebagai tanda sokongan yang nyata kepada etnik Rohingya yang hidup mereka bergelumang darah dan airmata?
Apa yang sudah Malaysia lakukan setakat ini selain menjerit dan melolong?
Kosong dan tidak ada apa-apa. Dan seperti sangkaan sejak awal lagi, sandiwaranya himpunan solidariti itu semakin jelas dan nyata.
Jika semalam, beradanya Jenderal Zulkifeli di Yangoon yang didakwa untuk memulihkan hubungan Malaysia-Myanmar berikutan perhimpunan solidariti Rohingya sudah dianggap memalukan kerana ia berlaku hanya dua hari setelah Najib berikrar untuk berjuang habis-habisan sambil menyatakan “enough is enough”, dua tindakan terbaru mereka ini sebenarnya lebih memalukan lagi.
Myanmar seperti sedang mengajar Najib bagaimana untuk menguruskan negara. Negara itu jelas nampak lebih berani dan ke depan dalam bertindak, meskipun banyak kesalahan terbeban kepada mereka manakala negara kita yang dipimpin Najib, terus diperlekeh dan dimalukan.

Bayangkan apa berlaku kepada Myanmar jika Malaysia ketika ini diterajui oleh Tun Mahathir?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/2016/12/sekali-lagi-najib-dimalukan.html

.