NAJIB TAK FAHAM KENAPA GST DIBENCI

Perdebatan tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan terus mendominasi topik perbincangan awam kerana kesan negatifnya sangat dirasakan oleh keluarga berpendapatan rendah selain yang dicerminkan pada kebekuan ekonomi sektor-sektor penggunaan domestik.

Saya sering kecewa apabila ahli-ahli politik berpengalaman atau pemikir-pemikir polisi awam mempunyai pemahaman yang dangkal dalam asas ekonomi dan kesannya terhadap kehidupan harian masyarakat.

Seringkali, ramai antara mereka menerima idea-idea neoliberal tanpa banyak soal.

Kita sedia maklum bahawa BN akan terus mencari alasan pelaksanaan GST, maka saya tidak harap mereka untuk jujur secara intelektual.

Di kalangan masyarakat, terutama pemikir polisi awam dan pakar ekonomi, kita setidaknya harus berkongsi pemahaman sama tentang cukai progresif dan cukai yang regresif.

Apa itu cukai progresif?

Cukai yang progresif adalah cukai yang kadarnya meningkat mengikut pertambahan jumlah boleh-cukai. Lebih banyak pendapatan yang diperoleh seseorang (jumlah boleh-cukai lebih tinggi) lebih tinggi kadar cukai yang dikenakan.

Cukai progresif dilaksanakan sebagai percubaan untuk megurangkan beban cukai golongan yang kurang berkemampuan untuk membayar cukai, kerana cukai ini mengagihkan beban itu kepada mereka yang lebih berkemampuan membayar cukai.

Asas falsafah cukai progresif adalah seperti berikut:

a) Seseorang dengan pendapatan lebih tinggi memperoleh hasil bukan saja daripada usaha sendiri tapi juga daripada manfaat-manfaat awam seperti keselamatan awam, perlindungan undang-undang, pendidikan, dan seumpanya yang disediakan oleh masyarakat, justeru mereka harus menyumbang untuk mengekalkan manfaat-manfaat itu;

b) Atas semangat solidariti, golongan berpendapatan lebih tinggi menyumbang jumlah lebih banyak untuk mengurangkan beban cukai golongan berpendapatan lebih rendah; dan

c) Jurang pendapatan yang besar mengancam kesatuan antara komuniti; maka masyarakat membuat pilihan politik melalui percukaian dan kaedah-kaedah lain untuk memastikan satu tingkat keadilan yang dapat diagih dan dirasakan oleh semua.

Berbeza dengan cukai regresif, di mana beban cukai semakin rendah apabila kemampuan membayar cukai seseorang meningkat.

GST atau cukai nilai tambah (VAT) dikenakan pada satu kadar yang sama kepada baik golongan kaya mahupun golongan miskin.

Namun pengagihan beban dengan pelaksanaan cukai regresif seperti ini memberi kesan yang sangat berbeza antara golongan kaya dan golongan miskin.

Pengagihan pendapatan

Sebagai contoh, golongan kaya dan miskin masing-masing memerlukan makanan dan keperluan asas lain. Keanjalan permintaan pendapatan untuk makanan selalunya kurang daripada 1 (atau dalam istilah ekonominya “tidak anjal”), yang bererti makanan adalah barangan keperluan wajib.

Justeru peningkatan pendapatan satu isi rumah hampir tidak mengubah jumlah cukai makanan yang dikenakan. Ini juga bererti, dengan kewujudan perbelanjaan yang lain, beban cukai relatif dirasakan lebih berat oleh isi rumah dengan pendapatan lebih rendah.

Hujah bahawa GST adalah cukai yang “adil” hanya kerana seseorang dikenakan cukai mengikut jumlah perbelanjaannya tidak boleh digunapakai.

Ini kerana hujah itu tidak mengambil kira bahawa golongan kaya mempunyai pendapatan yang lebih banyak untuk disimpan sedangkan golongan miskin dibebankan hasil pendapatan mereka ke tahap maksimum. Dalam situasi ini, GST memberi kesan regresif dalam pengagihan pendapatan.

GST semestinya memberi manfaat besar kepada kerajaan BN apabila harga minyak jatuh merudum sejak Oktober 2014, mengisi jurang pendapatan dengan mudah tanpa memerlukan kerajaan melakukan penyelarasan akibat kejatuhan harga minyak secara mendadak.

Hasil dari sektor berkaitan minyak menjangkau lebih 41.3% jumlah keseluruhan pendapatan negara pada 2009 dan 30% pada 2014, tapi ia hanya dianggarkan 13.8% apabila dibentangkan dalam Bajet 2017.

Namun kepada golongan biasa yang tidak pernah merasai peningkatan dalam pendapatan mereka, GST kini turut menjejaskan pendapatan boleh-guna mereka.

Pendapatan golongan biasa tidak jauh beza sejak beberapa tahun kebelakangan, malah sesetengah bakal merasakan penurunan akibat pertumbuhan perlahan atau kejatuhan prospek sektor tertentu seperti minyak dan gas.

Dan kini terpaksa pula membayar GST yang sebelum ini tidak wujud. Akibatnya, pendapatan boleh-guna mereka mengalami penurunan yang serius.

Jejas sektor runcit

Kerajaan mengutip RM41 bilion melalui GST pada 2016. Berbanding cukai jualan dan perkhimatan (SST) lama yang cuma mengumpulkan RM18 bilion setahun, ini bererti GST mengutip RM23 bilion daripada rakyat biasa Malaysia.

Sepatutnya RM23 bilion itu dibelanjakan secara langsung oleh rakyat untuk barangan dan perkhidmatan keperluan mereka.

Apabila hampir semua orang mengurangkan perbelanjaan, perniagaan terjejas akibat kekurangan hasil jualan barangan dan perkhidmatan, yang mengakibatkan pertumbuhan perlahan dalam sektor runcit dan domestik.

Dan apabila perniagaan terjejas, sampai satu tahap sesetengah syarikat terpaksa mengurangkan pekerja, yang menjejaskan lagi ekonomi secara keseluruhan.

Dengan anggapan bahawa kepenggunaan domestik sebagai pelincir ekonomi, terutama ketika sektor eksport tidak stabil ekoran situasi tidak menentu dunia, GST menjadi ‘pembunuh’ utama sumber pendapatan.

Pentadbiran Najib dan sesetengah pakar ekonomi sepatutnya faham kenapa GST begitu dibenci oleh rakyat Malaysia. Sekarang bukan masanya untuk bermain-main dengan agenda ekonomi neoliberal.

Malaysia memerlukan agenda ekonomi yang berkesan untuk jutaan rakyat biasa, yang akan menghasilkan pertumbuhan mampan ketika ini. GST sama sekali bukan penyelesaian kepada krisis ekonomi Malaysia.

LIEW CHIN TONG adalah anggota parlimen Kluang merangkap Pengerusi DAP Johor. 

– M’kini

.