NAJIB TAHU, PERDAGANGAN KUNCI JUMPA TRUMP

TIDAK lama sebenarnya bagaimana pembelian yang sederhana lapan pesawat Boeing 787 Dreamliners berjumlah AS$2.2 bilion bertukar jadi komitmen untuk membeli sekurang-kurangnya 50 pesawat penumpang jarak jauh terbaru keluaran syarikat pembuat kapal terbang Amerika Syarikat (AS) itu.

Perdana Menteri Najib Razak dan delegasinya bersederhana dalam apa yang diperlukan oleh Malaysia Airlines untuk terbang keluar daripada kerugian. Syarikat penerbangan negara itu telah membatalkan beberapa laluan, dan kini sudah mula pulang modal dan sedang mengintai untuk kembali menawarkan laluan di luar zon Australasia serta laluan Kuala Lumpur-London.

Lapan pesawat Boeing 787 sudah memadai, tambahan kepada 50 Boeing 737 yang dibeli dalam tempoh sedekad lalu.

Tetapi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ada fikiran yang lain setelah beliau dan Najib mula selesa antara satu sama lain dan mendapati ada banyak persamaan antara mereka berdua dalam pertemuan di White House awal hari ini.

Tidak lama juga sebenarnya untuk Najib memahami apa dikehendaki oleh ahli perniagaan yang kemudian jadi bintang televisyen realiti dan kemudian jadi ahli politik itu, daripadanya.

Perdagangan dan pelaburan, seperti yang ternampak daripada fokus sidang media tidak berjadual Trump selepas pertemuan delegasi Malaysia dan AS.

Pegawai memberitahu The Malaysian Insight, Najib memahami kecenderungan pentadbiran Trump untuk mencipta peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan seperti yang dijanjikannya sebagai tema utama kempen semasa hendak jadi presiden.

Trump mahu menjadikan Amerika kembali hebat dan beliau menekankan hal itu kepada Najib. Dalam pertemuan beberapa jam itu, urus niaga Boeing yang asalnya sederhana jadi komitmen AS$10 bilion untuk pesawat dan enjin daripada General Electrics.

Rundingan dengan Boeing itu dibincangkan sekarang dan dijangka akan dimeterai apabila Trump melawat Malaysia pada November ini, menjadikannya presiden AS kedua bertemu dengan Najib di Kuala Lumpur selepas Presiden Barack Obama pada 2014 dan 2015.

Trump juga memuji Najib atas pelaburan Malaysia dalam ekuiti AS dan mendapatkan daripada beliau pelaburan masa depan antara AS$3 hingga AS$4 bilion.

Kesimpulannya, ini adalah satu lawatan yang menguntungkan bagi Trump dan Amerika Syarikat: lebih banyak pekerjaan dan lebih banyak pelaburan yang akan menjadikan Amerika kembali hebat.

Bagi Najib, ia membuka hubungan lebih erat dengan Trump dan Washington, terutamanya selepas menjalin hubungan lebih dekat dengan Presiden Xi Jinping dan Beijing untuk perdagangan dan pelaburan China ke Malaysia.

Ini juga menjadikan Najib antara segelintir pemimpin dunia yang rapat dengan AS dan China, dua negara yang tampak berada di penjuru kutub yang berbeza dalam soal perdagangan, pelaburan dan hak asasi manusia. –

– https://www.themalaysianinsight.com

.