NAJIB: PUTRAJAYA SEDIA SERAH BALIK HAK SARAWAK

KUCHING – Kerajaan persekutuan tiada masalah untuk mengembalikan sekiranya ada kuasa atau hak-hak herajaan negeri Sarawak yang ‘terambil’ secara sengaja mahupun tidak sengaja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tinggi untuk duduk semeja dengan jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan kerajaan negeri Sarawak bagi berbincang tentang hak-hak negeri  Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Runding baik-baik, cari penyelesaian, semua boleh bincang. Dalam kabinet (persekutuan) pun ramai menteri datangnya dari Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, kerajaan hari ini lebih jujur dan ikhlas berhubung banyak isu, berbeza dengan keadaan suatu ketika dahulu apabila sesiapa sahaja yang menyentuh soal Perjanjian Malaysia 1963 akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau seterusnya memuji perpaduan dan permuafakatan yang ditunjukkan PBB sehingga banyak jawatan tinggi parti dimenangi tanpa ada sebarang pertandingan, yang menurutnya ia seharusnya menjadi model untuk  dicontohi oleh parti-parti  politik yang lain di Malaysia.

– Bernama

.