NAJIB: PROTON RUGI RM1 BILION JIKA TIDAK DISTRUKTUR SEMULA

SEREMBAN – Proton Holdings Bhd (Proton) dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion pada tahun ini sekiranya syarikat automotif nasional itu tidak ​​​​distruktur semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, pada tahun lepas misalnya, kerugian syarikat itu telah mencecah RM500 juta berikutan prestasi jualan yang tidak memberangsangkan iaitu sekitar 72,000 unit setahun dan 6,000 unit sebulan.

“Pada tahun lepas kerajaan bantu dengan memberi pinjaman mudah RM1.5 bilion…tahun ini minta lagi. Sumbangan (kerajaan untuk) R&D (penyelidikan dan pembangunan) pula RM1.1 bilion.

“Ini duit rakyat yang kita gunakan untuk selamatkan Proton kerana 60,000 orang bergantung rezeki dengan Proton…jadi berapa lama lagi kita perlu beri (sumbangan duit rakyat),” kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) di Masjid Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

– Bernama

.