NAJIB PILIHAN UTAMA SEBAGAI PM, MENURUT KAJIAN UM

NAJIB Razak merupakan pemimpin yang dipilih untuk menjadi perdana menteri, menurut kajian pilihan raya yang dijalankan di 12 kerusi Parlimen oleh Universiti Malaya antara Julai dan Disember.

Najib mendapat 21% undian mendahului Dr Mahathir Mohamad yang hanya mendapat 18% undian.

Ketua de facto pembangkang Anwar Ibrahim menerima 10% undian mendahului Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein (9%) dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (7%).

Ketua penyelidik kajian berkenaan, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun sedia maklum walaupun populariti Dr Mahathir mungkin lebih tinggi hari ini kerana kajian itu mula dijalankan ketika pengerusi Pakatan Harapan itu masih belum dicalonkan sebagai perdana menteri pembangkang.

“Kamu perlu ingat kajian ini bermula pada Julai, yang mana ketika itu, Dr Mahathir luar daripada radar,” kata ahli fakulti Akademi Pengajian Melayu kepada The Malaysian Insight hari ini.

Ketika itu PH baru sahaja mengumumkan kepimpinan baharu dengan Dr Mahathir sebagai pengerusi, Anwar Ibrahim sebagai ketua de facto PH dan Dr Wan Azizah sebagai presiden PH.

Kajian UM membabitkan 1,550 responden di 12 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang ditanya mengenai pelbagai isu berkaitan pilihan raya.

Kerusi terbabit adalah Jerlun, Permatang Pauh, Kuala Krai, Kuala Terengganu, Sepang, Bandar Tun Razak, Gelang Patah, Pasir Gudang, Penampang, Semporna, Petra Jaya dan Bandar Kuching.

Daripada 12 kerusi parlimen yang diselidik, tiga dipegang oleh Barisan Nasional. Bakinya kecuali satu dipegang oleh pembangkang yang mana dua dimenangi melalui tiket PAS pada pilihan raya umum 2013 yang ahli Parlimennya kini menyertai Amanah, manakala Semporna dimenangi oleh BN namun ahli Parlimennya Shafie Apdal kini mengetuai parti Warisan.

Selebihnya adalah kerusi Bandar Tun Razak, yang dimenangi atas tiket PKR namun ahli parlimennya kini bebas.

Daripada 12 kerusi yang dikaji, tiga adalah kerusi Barisan Nasional selebihnya adalah pembangkang – PKR (2). Amanah (2), DAP (2), Warisan (1), PAS (1) dan Bebas (1).

Awang Azman berkata Dr Mahathir mula mendapat maklum balas tinggi pada Oktober dan November, tambahnya.

“Kaji selidik itu menunjukkan beliau sudah agak popular, walaupun sebelum cakap-cakap beliau akan menjadi calon perdana menteri PH,” kata Awang Azman.

Pengerusi Bersatu itu dicadangkan sebagai calon perdana menteri PH ketika pemukiman yang diadakan pada Disember dan tiga daripada empat parti pakatan pembangkang itu bersetuju. Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR, dicadangkan sebaga timbalan perdana menteri.

Awang Azman berkata universiti berkenaan akan membentangkan laporan terperinci kaji selidik itu dalam masa beberapa minggu lagi.

“Kami masih meneruskan kaji selidik. Kami berada di peringkat akar umbi dan kami jangkakan perubahan besar dalam sentimen pengundi dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Tambahnya, universiti berkenaan juga merancang untuk mendapatkan lebih banyak data pandangan pengundi daripada kerusi parlimen luar bandar.

Pilihan raya umum ke 14 mesti diadakan menjelang Ogos.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.