Najib percaya ‘orang dalam’ bocor maklumat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di perairan Sabah dibocorkan melalui ‘orang dalam’.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan pasukan keselamatan sukar mengawal perairan yang luas sehingga berlaku kes-kes penculikan khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

“Masalahnya sebab ada maklumat melalui orang dalaman, jadi bila dia ada maklumat, dia (penculik) tahu bila pasukan keselamatan tidak ada di sesuatu tempat dan ketika.

“Masa itulah mereka akan bertindak dan mustahil bagi kita untuk menempatkan aset dan anggota kita pada setiap tempat dan setiap masa… tidak ada mana negara pun mampu melakukan perkara itu hatta negara maju sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, hari ini.

Najib berkata, beliau akan mengemukakan cadangan tindakan-tindakan baharu yang boleh diambil pihak keselamatan dalam mengawal perairan negara.

“Saya akan mengemukakan (cadangan) kepada mereka sebab rakyat Sabah tidak boleh terima kalau berlaku penculikan secara berterusan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya kemasukan penduduk negara jiran akibat operasi ketenteraan di Selatan Filipina, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memantau perkara itu.

“Kita akan pantau namun tiada kemasukan secara besar-besaran setakat ini, tetapi kita akan memantau keadaan,” katanya.

– Bernama

.