NAJIB PEMIMPIN LUAR BIASA, TETAP TEGUH WALAU DISEPAK TERAJANG, KATA ZAHID

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai pemimpin yang kental kerana sentiasa teguh walaupun menerima pelbagai fitnah.

Zahid menegaskan, kesetiaannya kepada Najib bukanlah membabi buta tetapi kerana beliau kagum dengan prinsip Presiden Umno itu.

“Saya terus mendokong beliau sebab keyakinan saya cukup tinggi pada Datuk Seri Najib Abdul Razak. Beliau diterajang dengan pelbagai isu, beliau disimbah pelbagai fitnah, beliau dihujani pelbagai peluru kebencian namun daya tahan beliau luar biasa.

“Pemimpin seperti ini harus kita dokong,” kata Zahid dihadapan ratusan pelajar pada ucapan perasmian Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.

Persidangan lima hari tersebut merupakan program anjuran Biro Pendidikan Umno bagi membincangkan isu dan permasalahan anak muda khususnya pelajar.

Naib Presiden Umno itu mahu mahasiswa PEMANAS terus menyokong Najib kerana beliau merupakan pemimpin paling relevan pada masa kini.

“Kita lihat bila Umno diasaskan hingga ke kini Najib, beliau lakukan inisiatif dan lakukan transformasi yang terbaik.

“Bukan kita nak nafikan jasa-jasa pemimpin dahulu, tapi pemimpin Umno yang paling relevan dan ketahui citarasa anak muda, iaitu Najib Abdul Razak,” katanya lagi.

Beliau menambah masyarakat terutamanya anak muda perlu terus memilih Umno kerana ia merupakan parti keramat, benteng terakhir untuk orang Melayu dan Islam.

“Amat rugilah kalau ramai atau jika terdapat anak-anak muda yang ketepikan Umno dan tidak bersama-sama dalam Umno.

“Kita adalah kubu yg terakhir kepada org Melayu dan orang Islam di negara kita. Rekod memperlihatkan pencapaian dan kejayaan kita dengan tidak berniat utk riak, jauh sekali mahu takbur.

“Kita hidangkan rekod ini ke khayalak untuk dinilai, sesungguhnya yang kenal intan dan kaca, itu hanya mereka yang hayati perjuangan Umno seperti anda,” katanya lagi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.