NAJIB: PEMBANGKANG SENGAJA BUAT-BUAT TAK NAMPAK

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berpesan kepada pembangkang supaya jangan bersikap seperti katak di bawah tempurung.

Najib berkata, pembangkang harus ‘buka mata’ dengan pembangunan yang dibawa olehnya sejak tujuh tahun memegang pemerintahan negara.

“Sudah tujuh tahun tampuk kepimpinan negara bertukar tangan, namun ada pihak khususnya pembangkang sering memperkatakan mereka tidak nampak pembangunan yang diusahakan Kerajaan hari ini dan membandingkan saya dengan kepimpinan lama.

“Hujah yang dilontarkan mereka tidak lebih daripada kata-kata kosong dan saya merasakan bahawa mereka ini sengaja buat-buat tidak nampak.

“Pentadbiran saya telah menjalankan pelbagai pembangunan yang mencipta beratus ribu peluang pekerjaan,” katanya menerusi ucapan Projek Pemangkin Ekonomi yang disiarkan menerusi Facebooknya.

Menurut Najib lagi, antara projek pemangkin ekonomi berlandaskan pembangunan secara besar-besaran adalah seperti projek MRT, Lebuhraya Pantai Timur 3, Pan Borneo Highway, LRT 2 dan 3 dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Projek-projek seperti ini difahamkan penting bagi menjana ekonomi di kawasan sekitar dan merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar.

Selain itu, kata Najib lagi, kerajaan juga membangunkan projek pemangkin ekonomi yang menjadi mercu tanda negara seperti pembangunan Wilayah Iskandar, Rapid Pengerang, Danga Waterfront, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, KL118 bangunan yang tertinggi di negara.

“Yang aneh, ada yang kata bangunan-bangunan seperti Tun Razak Exchange dan KL118, tidak ada satu tiang pun dibina.

“Saya saran pergilah lihat sendiri tapak pembinaan tersebut sebelum melontarkan tuduhan yang memalukan diri.

“Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia berperanan membangunkan projek seperti pembangunan Battersea, sebuah lagi mercu tanda ikonik di kota London. Lihatlah sendiri di internet projek yang mengharumkan nama negara ini.

“Banyak pembangunan infrastruktur yang telah dijalankan dalam masa yang hanya tujuh tahun pertama pentadbiran saya, dan memangkinkan ekonomi negara secara berterusan. Kepada pembangkang, janganlah bersikap seperti katak di bawah tempurung,” tegurnya lagi.

– SH

.