‘NAJIB PALING BERKUASA KAWAL HARGA MINYAK’

Datuk Seri Najib Razak sepatutnya berasa malu dengan kenyataannya pada di Perhimpunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) semalam kononnya beliau “tidak ada kuasa dalam menentukan turun naik harga minyak setiap minggu”.

Saya tidak pasti sama ada Najib benar-benar percaya bahawa beliau tidak ada kuasa; atau pun itu hanya helahnya untuk menutup keadaan sebenar iaitu wang rakyat yang boleh digunakan untuk meringankan beban rakyat terutamanya mengawal harga minyak telah dibazirkan oleh pentadbiran beliau dalam projek-projek yang rugi besar seperti 1MDB, Felda dan lain-lain.

Saya yakin Najib tahu bahawa beliaulah yang mempunyai paling banyak kuasa dalam mengawal harga minyak di negara ini.

Kenyataan beliau bahawa harga minyak mingguan tidak dikawal oleh kerajaan persekutuan dan tertakluk kepada harga pasaran semata-mata adalah tidak tepat.

Harga petrol (RON95 dan RON97) dan diesel ditetapkan secara mingguan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan formula berikut:

Harga mingguan (RON95, RON97 dan diesel) = Harga minyak yang telah diproses mengikut harga rujukan MOPS95 terbitan Platts + Jaminan Kos Operasi & Keuntungan + GST (untuk RON97).

Harga minyak diproses: harga pasaran minyak yang telah diproses mengikut gred seperti yang diperdagangkan di Singapura dan laporan harganya diterbitkan oleh penerbitan Platts. Harga yang dilaporkan adalah di dalam Dollar AS (USD) dan perlu diterjemahkan kepada Ringgit Malaysia.

Jaminan kos operasi dan keuntungan kepada pengendali stesen petrol dan syarikat minyak: Kerajaan Persekutuan menetapkan satu kadar untuk menanggung kos operasi dan memberi keuntungan kepada pengendali stesen minyak dan syarikat minyak.

Pada masa ini, kadarnya ialah 32 sen seliter (untuk pengendali stesen minyak dan juga syarikat minyak) bagi RON95/RON97 dan 23 sen seliter bagi diesel.

GST: Kerajaan Persekutuan menetapkan sama ada bahan api seperti petrol dan diesel dikenakan GST dan berapa kadar GST yang dibayar.

Oleh itu, Najib bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam menetapkan harga minyak mingguan di negara ini seperti berikut:

Secara langsung

i. Beliau mengetuai pentadbiran kerajaan persekutuan yang membuat undang-undang bahawa harga minyak dikira berdasarkan formula yang telah ditetapkan (seperti di atas).

Beliau hanya boleh mengaku beliau tidak mengawal harga minyak jika Kerajaan Persekutuan tidak menetapkan langsung bagaimana harga petrol dan diesel ditentukan oleh stesen minyak dan menyerahkan bulat-bulat kepada peniaga untuk menentukannya (seperti mana kerajaan tidak menetapkan harga goreng pisang).

ii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa harga minyak ditetapkan setiap minggu dan perlu dipatuhi oleh semua stesen minyak.

iii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa kadar jaminan kos operasi dan keuntungan yang dibayar kepada pengendali stesen minyak dan syarikat minyak adalah 32 sen seliter atau 23 sen seliter (bagi diesel).

Harga minyak berubah mengikut berapa kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan menetapkan kadar yang lebih rendah dari sekarang, maka harga minyak akan turun dan begitulah sebaliknya.

iv. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menetapkan bahawa RON97 perlu dikenakan GST pada kadar 6 peratus.

v. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang memutuskan untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang selama ini digunakan untuk mengawal harga minyak dan melindungi pengguna dari turun naik harga minyak mentah dunia.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan berupaya memperuntukkan sehingga 20 sen subsidi seliter yang akan menurunkan harga minyak apabila ia telah melepasi paras tertentu.

Secara tidak langsung

i. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berbelanja dengan boros dan berlaku banyak ketirisan dan penyelewengan sehinggakan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang tinggi.

Jumlah bayaran tahunan faedah hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah sekitar RM27 bilion setahun iaitu lima kali ganda dari anggaran jumlah yang diperlukan untuk memperuntukkan subsidi 20 sen seliter pada kuota 25 peratus penggunaan petrol dan diesel tahunan negara.

Hutang 1MDB yang semestinya telah melepasi RM50 bilion telah menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar sekitar RM2 bilion setahun dalam bentuk faedah, sedangkan jumlah ini boleh digunakan untuk menyediakan subsidi bagi mengawal harga minyak.

Beban hutang yang tinggi ini dan belanja membayar faedah yang besar setiap tahun menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak ada wang untuk memperuntukkan subsidi minyak yang mendorong kepada tindakan Najib menghapuskan subsidi minyak.

ii. Beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang gagal melindungi nilai matawang ringgit sehingga nilai ringgit jatuh mendadak dari paras sekitar RM3.50 bagi setiap dolar kepada sekitar RM4.20 kini.

Oleh kerana harga rujukan adalah di dalam dolar, matawang ringgit yang lemah menyebabkan harga RON95, RON97 dan diesel menjadi lebih mahal dari yang sepatutnya apabila harga rujukan ditukarkan ke dalam ringgit seperti yang dikehendaki formula.

Saya meminta Najib berhenti mencuci tangan dalam isu kenaikan harga minyak.

Beliau sewajarnya berdebat dengan kami di Parlimen mengenai cadangan-cadangan dari Pakatan Harapan untuk mengawal harga minyak yang pernah saya utarakan, iaitu pengenalan subsidi untuk mengekalkan harga minyak pada paras RM1.80 seliter yang tertakluk kepada kuota bulanan yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang layak; kuota bulanan itu ditentukan mengikut peratusan dari jumlah penggunaan tahunan petrol dan diesel.

Kalau saya yakin Pakatan Harapan boleh mengawal harga minyak pada paras RM1.80 seliter dan stabil pada harga itu dalam suasana pasaran dunia sekarang, beliau sepatutnya menjawab kepada rakyat kenapa beliau tidak boleh berbuat yang sama?

Tindakan cuba membodohkan rakyat kononnya beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga minyak sebenarnya hanya menampakkan beliau bodoh.

RAFIZI RAMLI adalah ahli parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

– M’kini

.