NAJIB: MALAYSIA TIDAK PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN KOREA UTARA

CHENNAI – Malaysia tidak akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara berikutan ketegangan politik susulan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun berdepan kesukaran, namun penyelesaian kes pembunuhan Jong-nam menepati objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan.

“Kita harap mereka jangan buat kes macam ini lagi. Ia akan memudaratkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Najib berkata dalam mencari penyelesaian kes berkenaan, beliau menetapkan dua objektif yang perlu dicapai oleh jawatankuasa yang ditubuhkan bagi merundingkan masalah tersebut dengan Korea Utara.
Objektif pertama adalah memastikan kesemua rakyat Malaysia di Korea Utara selamat dengan objektif kedua, kedaulatan negara tidak diketepikan dalam rundingan tersebut.

Kedua-dua objektif itu telah tercapai dengan tiga diplomat Malaysia bersama enam anggota keluarga di Pyongyang selamat tiba di negara ini awal pagi ini.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara dalam dua bulan terakhir ini sedikit reda apabila sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air, awal pagi ini

Ketegangan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Februari.

Menjelas lanjut, Najib berkata ketika melakukan rundingan itu, banyak perkara yang dilalui oleh jawatankuasa yang ditubuhkan termasuk dipanggil untuk mengadakan mesyuarat seawal 3 pagi selain perubahan-perubahan dibuat pada saat-saat akhir oleh pihak Korea Utara.

“Namun, pada akhirnya persetujuan yang dicapai telah dihormati oleh Korea Utara dan kesemua sembilan rakyat kita telah selamat pulang,” katanya.

Ketika ditanya sama ada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mampu pulih, Najib berkata kedua-dua pihak perlu berpegang kepada prinsip diplomasi serta menghormati Konvesnyen Vienna sekiranya mahu menjamin hubungan diplomasi itu dapat diteruskan.

– Bernama