NAJIB MAHU KEMELUT FGV DISELESAIKAN SEGERA

KULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tiga prinsip penyelesaian berhubung kemelut pergolakan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Selain itu, Najib juga mahu kemelut yang melanda syarikat itu diselesaikan segera sebelum berakhirnya Ramadan ini.

“Tiga garis penyelesaian itu adalah ia mesti mematuhi undang-undang syarikat, kedua ia mesti selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik dan proses yang dilakukan sehingga keputusan muktamad mestilah melalui proses yang adil.

“Ini adalah untuk memastikan fakta-fakta yang dapat kita tentukan itu adalah fakta tepat dan akhirnya dapat keputusan, dan saya nak katakan bahawa memang hasrat kerajaan supaya kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin, saya nak ia diselesaikan pada bulan Ramadan ini,” katanya dalam ucapan di majlis Program Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, Kulai.

Najib berkata, pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dapat menjalankan siasatan atas apa yang berlaku berpandukan tiga prinsip itu bagi menyelesaikan kemelut yang sedang melanda FGV pada masa ini.

“Dengan kelebihan kemelut ini, kita tinggal mencapai matlamat korporat untuk memastikan FGV ini sebagai satu badan korporat yang bernilai tinggi yang mempunyai revenew (keuntungan) yang besar dari hari ini dan kita hendak juga nilai saham kita berada jauh lebih tinggi lagi.

“Ini semua saya telah runding dengan Tn Sri Shharir mengenai perancangan masa depan FGV, saya harap dengan komitmen kerajaan kita dapat berusaha sedaya upaya FGV dapat menemui masa depan yang lebih cemerlang lagi,” katanya.

– SH

.