NAJIB, MAHARAJA TANPA BAJU

Baju Baru Maharaja (The Emperor’s New Clothes) adalah kisah dongeng yang ditulis penulis Denmark berkenaan seorang maharaja yang membayar upah yang mahal untuk mendapatkan sebuah baju baru ajaib yang kononnya hanya boleh dilihat oleh orang yang bijak.

Pakaian itu sebenarnya tidak wujud, namun maharaja itu tidak mahu mengaku tidak dapat melihat baju itu kerana tidak mahu kelihatan bodoh.

Sekiranya Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai calon tunggal BN sebagai perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang, tidak susah untuk bayangkan berakhirnya era BN.

Sudah tentu, sesetengah orang mungkin fikir saya berpendapat begitu kerana saya pembangkang. Saya tidak nafikan kerana saya ingin melihat BN dan Umno kalah dalam pilihan raya kali ini.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting, saya sebenarnya menggambarkan dinamik politik yang bukan dari perspektif kepartian yang saya sudah perhatikan untuk beberapa ketika.

Umno mempunyai tiga kelemahan utama. Kecuali ada sesuatu yang drastik terjadi dalam beberapa bulan akan datang, Umno akan melangkah dalam pilihan raya dengan faktor-faktor ini: Faktor Najib, tidak digemari golongan bukan Melayu, dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap ekonomi.

Faktor Najib

Dalam pilihan raya umum 2013, Najib merupakan aset kepada Umno-BN. Beliau popular di kalangan pengundi Melayu. Populariti Najib ketika itu berada di atas 60 peratus sehingga 2015, tahun yang menyaksikan perubahan penting.

Setelah skandal 1MDB didedahkan, populariti perdana menteri merosot kepada 30 peratus dan tidak pernah pulih sejak itu.

Seorang wartawan berpengalaman pernah menulis sebelum Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini bahawa “undian dalam parti menunjukkan kadar populariti beliau (Najib) meningkat kepada 30 peratus. Najib kini paling berpengaruh memandangkan tiada alternatif lain dalam parti.”

Sangat lucu apabila penulis artikel berkenaan dan sumbernya fikir kadar populariti sekitar 30 peratus adalah sesuatu yang boleh diraikan.

Ada pula pihak yang berhujah bahawa skandal 1MDB tidak akan memberi kesan kepada pilihan raya umum. Saya tidak setuju.

Benar, skandal 1MDB semata-mata tidak akan menyebabkan pertukaran undi, namun hakikat bahawa pengundi akan mengundi dengan mengetahui bahawa perdana menteri mengambil duit dan memasukkannya ke dalam akaun sendiri adalah faktor penting yang akan pengaruhi pilihan raya.

Jika tidak, sudah tentu populariti Najib akan kembali kepada 60 peratus seperti sebelum 2015 dan bukannya pada kadar 30 peratus, yang bakal menjadi malapetaka buat Umno-BN.

Sama ada mereka suka atau tidak, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bukanlah watak yang digemari di kalangan pengundi. Di media sosial dan di kalangan rakyat yang mengikuti perkembangan politik, Najib dan Rosmah diperlekehkan tanpa henti, bukan oleh pembangkang tapi oleh orang awam.

Kecuali Umno menyingkirkan Najib dan meletakkan barisan pimpinan yang baru, Najib adalah liabiliti untuk partinya dan kerajaan. Malah pada satu tahap sehingga menyebabkan sesiapa saja yang dilihat menyokong Najib akan turut terjejas popularitinya.

Faktor pengundi bukan Melayu

Selepas pendirian Umno pada 2005 yang disimbolkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjulang keris, pengundi bukan Melayu tidak lagi mengundi Umno.

Seorang wartawan yang bekerja dengan media antarabangsa memberitahu saya satu kisah baru-baru ini. Dia sedang menyiasat sumber kenyataan seorang pemimpin MCA yang mendakwa dalam akhbar bahawa BN mempunyai 35 peratus pengundi Cina. Selepas ditanya beberapa kali, pemimpin MCA itu akhirnya mengaku bahawa “Liew Chin Tong yang beritahu!”.

Sumber dakwaan tidak berasas ini diambil daripada wawancara saya dengan akhbar The Edge pada Jun tahun ini di mana saya berkata pembangkang mempunyai 65 peratus penyokong dari kalangan bukan Melayu, seperti yang ditunjukkan di pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Dalam kedua-dua PRK itu, parti baru Parti Amanah Negara (AMANAH) diletakkan di kawasan separa bandar dan berjaya menerima 65 peratus sokongan bukan Melayu. (Sokongan bukan Melayu kepada pembangkang lebih tinggi di kawasan bandar sementara majoriti pengundi bukan Melayu separa bandar mengundi BN sehingga pertukaran undi yang terjadi pada pilihan raya 2013.)

Antara 65 peratus sokongan dalam PRK dan 85 peratus sokongan bukan Melayu dalam pilihan raya umum 2013, terdapat sejumlah baki sokongan. Ia tidak bererti BN secara automatik mendapat baki sokongan 35 peratus bukan Melayu itu. Namun kita semua tahu dalam keadaan terdesak, orang akan kata apa saja.

Justeru, terdapat kempen bagi memujuk pengundi Cina merosakkan undi dalam pilihan raya akan datang – kerana pemimpin BN tahu mustahil meyakinkan pengundi Cina untuk undi mereka.

Bagaimanapun, saya mengakui bahawa pertukaran undi di kalangan pengundi bukan Melayu tidak dapat menjamin BN dapat dikalahkan dan perubahan akan terjadi. Ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh Pakatan Harapan.

Faktor tidak puas hati

Rakyat biasa Malaysia terpaksa melalui kepayahan meneruskan kehidupan kerana situasi ekonomi yang tidak membantu mereka. Lebih teruk, kerajaan Najib enggan mengakui bahawa masalah ini wujud.

Tweet selebriti terkenal Datuk Sheila Majid dalam kata lain secara asasnya mengatakan Umno adalah ibarat maharaja tanpa persalinan seperti yang diceritakan dalam kisah lipur lara rakyat Denmark. Ratu Jazz Negara itu menyentuh berkenaan kepayahan warga biasa Malaysia sejurus sebelum Perhimpunan Agung Umno.

Ketika perhimpunan gah yang dipenuhi cakap-cakap besar itu, Najib tidak menyentuh berkenaan kepayahan warga biasa Malaysia. Sebaliknya, beliau hanya bercakap tentang statistik terpilih tertentu untuk menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan yang baik.

Bagi Najib, Malaysia mempunyai ekonomi yang terbaik di dunia. Beliau malah mendakwa Umno akan terus memerintah untuk seribu tahun lagi.

Tweet Sheila Majid itu tepat menggambarkan cabaran dan kepayahan ekonomi warga biasa Malaysia. Sheila tidak kata apa-apa yang berkaitan di akaun Twitter selepas itu namun satu demi satu menteri Umno memberikan reaksi.

Salah seorang berkata artis tidak seharusnya memberi pendapat tentang politik sementara yang lain cuba mengatakan bahawa kenaikan kos hidup adalah kehendak Tuhan. Salah seorang yang lain malah menuntut agar penyanyi terkenal itu memberikan bukti berkenaan keadaan ekonomi negara.

Reaksi balas menteri-menteri ini yang dilihat orang ramai sebagai percubaan membodek Najib, dan ia bukanlah sesuatu yang digemari pengundi biasa Melayu. Reaksi seumpamanya dijangka akan menyebabkan sentimen anti-BN yang lebih kuat dalam pilihan raya.

Barangkali pemimpin Umno tidak pernah sedar bahawa ramai warga biasa Melayu turut berkongsi kepayahan ekonomi yang diluahkan selebriti tempatan melalui laman sosial mereka.

Secara mudahnya, dengan Najib yang semakin tidak popular sejak 2015 dan berterus-terusan diperlekeh, selain pengundi bukan Melayu yang tidak menggemari BN sejak 2005, serta ketidakpuasan hati pengundi Melayu yang bersedia menentang golongan elit politik, pengakhiran untuk Umno-BN semakin dekat.

LIEW CHIN TONG adalah ahli Parlimen Kluang merangkap pengerusi DAP Johor.

– M’kini

.