NAJIB LEBIH WAJIB DIPANGGIL BERI KETERANGAN KEPADA RCI FOREX

Jika kejujuran menjadi tunjang kehidupan, kebenaran dan siapa yang bertanggungjawab dalam kerugian urusniaga forex sudah pun jelas sebenarnya.
Pengakuan Nor Mohamed Yakcop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara kepada RCI forex dua minggu lalu yang menyatakan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas urusniaga matawang dan kerugian yang dialami oleh Bank Negara serta telah menerima “bahagiannya”  iaitu dengan perletakan jawatannya secara serta-merta, ia seharusnya merupakan jawapan yang dicari-cari selama ini.
Beliau seterusnya  menyatakan tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan, baik dengan Perdana Menteri mahupun Menteri Kewangan, ketika mengendalikan urusniaga matawang itu.
Keterangan Nor Mohamed Yakcop itu tidak ubah seperti pengakuan seseorang yang mengakui semua pertuduhan di mahkamah.
Lalu, apa mahu lagi? Bukankah itu jawapannya?
Namun, Tun Mahathir Mohamad yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI forex semalam menyatakan, banyak soalan yang ditanyakan kepadanya tidak releven sama-sekali dan tidak berkaitan dalam mengenal pasti kerugian yang dialami Bank Negara.
“Ia hanya bertujuan mahu memberi imej buruk kepada saya dan Anwar Ibrahim kononnya banyak wang juga dicuri di zaman saya menjadi Perdana Menteri.
“Tapi saya takut mereka tidak  mencapai objektif untuk menunjukkan saya sama seperti kleptokrat yang mentadbir negara hari ini,” ujar beliau seperti menyindir selepas memberi keterangannya.
Sehubungan itu, Tun Mahathir menggesa RCI forex agar memanggil sama Najib Razak untuk memberi keterangannya.
Najib, kata Tun Mahathir, mesti dipanggil untuk menjelaskan mengapa baru sekarang beliau membangkitkan soal kerugian forex, sedangkan semasa berada di dalam kabinetnya dahulu dia hanya senyum dan setuju dengan semua perkara.
“Najib mesti jelaskan mengapa sejak dulu lagi beliau tidak pernah bangkitkan tentang kerugian forex, tetapi hanya sekarang bercakap mengenainya,” tambah beliau.
Lebih dari itu, tegas Tun Mahathir lagi, isu penubuhan RCI bagi menyiasat urusniaga forex telah pun dibangkitkan oleh Lim Kit Siang sejak lebih dua dekad lalu dan Najib tidak pernah diketahui bersetuju dengan desakan tersebut.
“Dulu dia senyum dan tepuk tangan saja,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi.
Jika kita imbas, berdasarkan pengakuan Nor Mohamed Yakcop yang sukarela mengakui beliau bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusniaga forex dan pemakluman kepada kerajaan hanya dilakukan setelah Bank Negara mengalami kerugian, kedudukan Tun Mahathir dan Najib tidak banyak bezanya.
Hanya bezanya ketika itu, Tun Mahathir adalah Perdana Menteri dan Najib menteri biasa, tetapi tiada sesiapa dihalang daripada bersuara.
Kiranya Tun Mahathir mahu dipersalahkan atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, walhal dalam keterangannya turut memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh Gabenor Bank Negara ketika itu, Jaafar Hussein urusniaga matawang yang dijalankan adalah untuk memperkukuh rizab serta kedudukan ringgit dan berdasarkan keterangan Nor Mohamed Yakcop pula urusniaga itu dilakukan oleh Bank Negara tanpa campurtangan kerajaan,  bermakna Najib juga tidak terkecuali menanggung beban pertanggungjawaban sebagai salah seorang anggota kabinet.
Kenapa hanya Tun Mahathir mahu dipersalahkan dan anggota kabinet lain terlepas, lebih-lebih lagi jika orang yang sama mahu menjadi hero forex kononnya?
Kenapa dulu diam dan baru sekarang mahu bersuara?
Bukanlah kerugian sudah dimaklumkan kepada kabinet dan dibentangkan oleh Anwar Ibrahim?
Oleh kerana Najib sekarang sudah menjadi Perdana Menteri dan secara tiba-tiba begitu mengambil berat tentang kerugian forex yang sudah pun diketahuinya sejak lebih 25 tahun lalu dan sepatutnya beliau bersuara ketika itu, Najib mesti menjelaskan niat dan tujuan sebenarnya menubuhkan RCI sekarang ini.
Kalau kebenaran ingin dicari dan kejujuran masih menjadi tunjang kehidupan, sementara siapa yang bersalah sudah pun jelas di depan mata kita semua, mengetahui niat sebenar Najib menubuhkan RCI forex adalah jauh dan jauh lebih penting lagi berbanding mengasak Tun Mahathir dengan soalan-soalan yang tidak relevan.

Jawapan Najib nantilah tersembunyi kebenaran yang hakiki.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.