NAJIB LEBIH MEMIHAK PADA KONGLOMERAT, DAKWA ANWAR

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa kerajaan Umno-BN lebih memihak kepada konglomerat kaya dan bukannya rakyat.

Menurutnya, kedudukan ekonomi negara yang gawat kini kian meruncing dan membebankan rakyat, ditambah lagi dengan kenaikan harga minyak mentah dan juga minyak masak yang dirasakan melampau.

“Mengapa tiada usaha menghubungi pengeluar besar dalam negara untuk memastikan sejumlah kecil pengeluaran diperuntukkan untuk pengguna dalam negara dengan harga terkawal?

“Minyak masak adalah hasil keluaran negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, hasil tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sekitar Puncak Alam, Subang dan Putrajaya mendapati tiada bekalan minyak masak untuk dibeli pelanggan.

Selain itu, minyak masak paket plastik satu kilogram juga sukar diperoleh dan hanya boleh didapati di kedai-kedai runcit namun jumlahnya terhad.

Di samping itu, minyak petrol juga turut naik  sebanyak 15 sen berkuat kuasa 1 November menjadikan harga untuk Ron 95 adalah dari RM1.80/seliter  kepada RM1.95/ seliter, untuk Ron 97 pula dari RM2.15/seliter kepada RM2.30/ seliter dan diesel dari RM1.85/seliter kepada RM2.00/seliter.

Tambahnya lagi, Perdana Menteri perlu menelusuri Belanjawan Selangor yang dilihat mampu mengurus ekonomi secara berhemat.

“Belanjawan Selangor dilihat mampu mengurus ekonomi secara berhemat dan menghargai khidmat penjawat awam serta meneruskan program kepedulian rakyat dalam bidang perumahan, pendidikan dan kesihatan,” tambahnya lagi.

Beliau juga turut berkata, bahawa negara dilihat amat terdesak dari segi ekonomi sehingga kelihatan menyerah terlalu banyak kepentingan ke negara China.

“Kita bersetuju dan mengalukan kesediaan China melabur dan terlibat dalam kegiatan ekonomi negara.

“Akan tetapi, kebergantungan ekonomi Malaysia kepada mana-mana satu negara tidak wajar dan akan menjejaskan kepentingan kebebasan negara dan strategi geo-politik dasar luar negara,” katanya.

SINAR HARIAN

.