NAJIB LAWAT TRUMP BULAN DEPAN

Perdana Menteri Najib Abdul Razak dilaporkan akan berjumpa Presiden AS Donald Trump di Washington bulan depan.

Wall Street Journal melaporkan hal ini dengan merujuk pegawai Rumah Putih dan beberapa individu di Malaysia yang terlibat dengan rancangan kunjungan itu.

Laporan itu mendakwa Najib begitu bersemangat untuk mengeratkan hubungannya dengan Trump ketika siasatan Jabatan Keadilan AS ke atas skandal 1MDB sedang berjalan.

“Orang rapat Najib berkata beliau (Najib) berkemungkinan akan menggunakan kunjungan ke Rumah Putih untuk cuba mengelakkan siasatan lanjut,” lapor Wall Street Journal.

Menurut laporan itu lagi, seorang jurucakap Najib enggan mengulas tentang kunjungan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.

Pada 8 Ogos lalu, Setiausaha Negara AS Rex Tillerson mengunjungi Malaysia dan bertemu Najib.

Laporan tentang kunjungan Najib ke AS itu timbul di tengah-tengah khabar angin bahawa Presiden China Xi Jinping akan mengunjungi Malaysia hujung tahun ini.
Bagaimanapun, sama ada kunjungan China itu akan berlangsung atau tidak masih tidak dapat dipastikan.

Sejak siasatan AS ke atas 1MDB, Najib dilihat beralih ke China.

Dalam lawatannya ke China pada November tahun lepas, Najib dalam sebuah komentar di China Dailymengecap apa yang beliau gambarkan sebagai “kuasa bekas penjajah”.

– M’kini

.