NAJIB LAWAT ABDUL HADI DI IJN

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan telah melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan Najib menerusi Facebooknya, hari ini.

Menurut Najib, lawatan tempoh 15 minit itu diluangkan untuk bertemu dengan keluarga Abdul Hadi dan doktor yang merawat pemimpin Pas itu.

“Sempat ziarah Abdul Hadi di IJN pagi tadi. Alhamdulillah pembedahan berjalan dengan lancar, kini beliau sedang dalam proses pemulihan.
“Sama-sama kita doakan beliau segera sembuh dan dalam perlindungan ALLAH SWT sentiasa,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, sebentar tadi.

Keadaan Abdul Hadi semalam, semakin bertambah baik selepas berlalu  tempoh kritikal 24 jam pertama menjalani pembedahan menggantikan injap jantungnya di IJN.

Abdul Hadi melalui Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar turut menyampaikan salamnya kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.

– SH

.