NAJIB KECAM DAKWAAN NEGARA MENUJU KE ARAH KEDIKTATORAN

DI ambang lawatan ke Amerika Syarikat, Perdana Menteri Najib Razak mengecam pembangkang yang didakwanya sebagai cuba memburukkan nama negara di media Amerika dengan “tuduhan liar” bahawa negara sedang menuju ke negara diktator.

Dalam blognya hari ini, Najib menjawab tuduhan itu dan mengatakan pembangkang yang tidak menghormati tradisi demokrasi di negara ini, dan demokrasi serta kebebasan bersuara masih lagi kekal walaupun pengkritik adalah bekas pentadbir negara yang kini pemimpin pembangkang, merujuk kepada bekas perdana menteri dan pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

Katanya pemimpin pembangkang sendiri menjadi diktator ketika 22 tahun pemerintahannya.

“Dan ianya benar ketika beliau menjadi perdana menteri, ratusan orang dipenjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Akhbar, termasuk akhbar harian utama ditutup.

“Kehakiman diserang. Kapitalisme kroni berleluasa dengan tawaran yang dibuat membebankan rakyat sekarang. Rakyat tiada hak berdemonstrasi dan pelajar tidak dibenarkan menyertai politik,” tulis Najib.

Sebaliknya katanya, demokrasi telah berkembang di bawah pentadbiran kini yang mana memiliki “keberanian politik yang besar” untuk “melakukan apa yang betul” dengan membuang “undang-undang yang ketinggalan zaman dan menindas”.

“…di bawah kerajaan saya, ia (demokrasi) sudah diperkukuhkan dengan perubahan yang paling besar sejak merdeka. Kita mansuhkan ISA – dan menamatkan darurat yang wujud sejak 60 tahun lalu.

“Kita tingkatkan kebebasan media dengan membuang sekatan ke atas penerbitan akhbar. Kita pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk membenarkan pelajar menyertai politik secara aktif.”

Najib berkata pembangkang bagaimanapun cuba membuat kenyataan pada media Amerika bahawa pengkritik kerajaan “secara rutinnya dipenjarakan”.

“Mereka dan sekutu mereka telah berusaha untuk mencemar nama negara pada media Amerika, membuat beberapa tuduhan liar, kemuncaknya membuat tuduhan palsu Malaysia dalam bahaya dan menuju ke arah negara diktator.

Namun, kebebasan pembangkang untuk sangat terbuka dan bersungguh-sungguh mengkritik kerajaan adalah bukti kebebasan bersuara di Malaysia, kata Najib.

“Pembangkang dialu-alukan berbuat demikian (mengkritik kerajaan), dan mereka lakukannya, sebagaimana yang rakyat Malaysia tahu daripada laporan media tradisional dan media baharu.

“Tetapi dengan secara palsu mencerca demokrasi Malaysia yang vibran dan menyebarkan fitnah dan kepalsuan mengenai kerajaan ini dalam akhbar luar negara semata-mata untuk faedah politik adalah satu hal yang lain.

“Itu tidak menunjukkan kebanggaan tentang apa yang telah kita capai. Tidak juga ia menunjukkan kecintaan terhadap negara kita. Dan itulah sepatutnya menyatukan kita yang kini menyambut kemerdekaan ke 60 dan lihat kembali peristiwa-peristiwa penting yang menjadikan Malaysia negara penuh kepelbagaian, harmoni dan berkeyakinan sekarang ini.”

Perdana menteri akan berlepas ke Amerika Syarikat esok yang mana beliau akan mengadakan lawatan ke White House atas jemputan Presiden Dolad Trump.

– https://www.themalaysianinsight.com

.