NAJIB, JANGAN BERSELINDUNG DISEBALIK AYAT-AYAT AGAMA

1. Pada 30 Mei lalu, dalam satu Majlis Iftar bersama Ulama, Umarak dan kepimpinan NGO Islam di Sri Perdana, Najib berpesan kepada tetamu yang hadir untuk menolak segala fahaman ekstrim yang membawa kepada kerosakan seperti permusuhan antara satu sama lain atau mengambil nyawa sendiri atas nama Islam. Dipercayai saranan ini dibuat setelah melihat situasi genting beberapa negara yang sedang berhadapan dengan ancaman terorisme.

2. Najib juga berpesan agar umat Islam bersatu padu dalam berhadapan dengan musuh-musuh Islam yang dilihat bersatu dan licik. Menurut beliau, mengharapkan Kerajaan sahaja tidak cukup untuk memenuhi agenda Islam tetapi memerlukan NGO-NGO sebagai rakan kongsi Kerajaan yang berjuang kerana Allah.

3. Saya tertanya-tanya Ulama dan Umara mana yang boleh bertahan mendengar pesanan nasihat daripada Najib Razak ini?. Mungkin juga para Ulama dan Umara ini juga mengguna pakai konsep Islam iaitu terimalah nasihat yang baik tanpa mengira siapa pun yang memberi nasihat. Dalam erti kata lain, bila Najib beri nasihat, boleh dengar, tapi belum tentu boleh pakai.

4. Kita juga ingin berpesan pada Najib, Islam juga mengutuk mana-mana umatnya yang bercakap sesuatu perkara yang  dia sendiri tak melakukannya seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Al- Quran menerusi Surah As-Saff ayat ke tiga yang bermaksud “Amat besar kebenciannya di sisi Allah sekiranya kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”

5. Kita juga ingin berpesan kepada Najib bahawa bercakap mengenai Islam takkan boleh menyucikan diri daripada segala salah laku yang telah mendatangkan kemudharatan kepada negara dan rakyat. Kecuali semua salah laku itu diperbetulkan. Cakap-cakap agama takkan mampu menutup skandal 1MDB yang cukup memalukan Malaysia. Cakap-cakap agama takkan mampu menutup berbilion ringgit dana awam yang telah dialihkan secara tidak bertanggungjawab melalui 1MDB untuk kepentingan politik sempit.

6. Jika benar ingin memulihkan imej Islam, maka Najib bertanggungjawab membersihkan nama Malaysia yang terkenal sebagai negara majoriti Muslim daripada segala skandal yang telah memalitkan arang ke wajah malaysia di peringkat antarabangsa.

7. Najib tak perlu salah anggap dengan nasihat ini. Kita tidak melarang Najib untuk bercakap mengenai agama. Tetapi kita mengharapkan Najib juga dapat menghayati falsafah terkenal tokoh revolusi Islam Mesir, Imam Hassan Al-Banna yang pernah menukilkan kalimah ‘Aslih Nafsak, Wad’u Ghairak” yang bermaksud, “Betulkan Diri Anda, dan Tegur Orang Lain”

Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab

Setiausaha Pengelola

Angkatan Muda Keadilan