NAJIB JADIKAN DIRINYA BAHAN LAWAK, KATA DR MAHATHIR

NAJIB Razak yang mengarahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian tukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM), telah menjadi bahan lawak dunia, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini disebabkan Najib tidak menangani tuduhan kleptokrasi dalam kerajaannya dan Dr Mahathir menuduh Najib menggunakan RCI untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia serta memburukkan namanya.

Tambah Dr Mahathir lagi, BNM sudah pun mengambil beberapa langkah seperti untung dan rugi selepas kerugian mata wang asing. Perubahan itu juga termaktub dalam pindaan kepada Akta Bank Negara Malaysia 2009.

“Ingin saya nyatakan di sini bahawa tujuan utama kerajaan meminta Yang DiPertuan Agong menubuhkan RCI ialah untuk menekan saya dan Anwar, serta pengkritik Perdana Menteri Najib Razak berkaitan kritikan 1MDB, juga masalah-masalah lain yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara,” kata Dr Mahathir ketika memberi keterangan di hadapan RCI hari ini.

“Dalam erti kata lain, kerajaan mahu mengalih perhatian rakyat daripada imej negatif disebabkan kleptrokrasi Najib Razak yang menjadi bahan ketawa dunia.

“Dari masa ke semasa, tanpa menjawab soalan-soalan tertentu – soalan yang saya bangkitkan, Najib timbulkan macam-macam masalah yang tidak relevan untuk merosakkan kredibiliti saya – hanya untuk mengalihkan perhatian daripada huru-hara yang berpunca darinya.”

Dr Mahathir berkata kerugian urus niaga mata wang asing sudah berlaku 25 tahun dahulu, tetapi “secara tiba-tiba kita ada bukti” oleh bekas penolong gabenor Abdul Murad Khalid yang mendakwa BNM kerugian AS$10 bilion.

“Dari kenyataan (Murad), niat jahat Najib didedahkan apabila dia dengan segera menyatakan yang kabinet akan meminta pandangan BNM dan ‘akan mengambil serius hal ini’,” kata Dr Mahathir, memetik laporan berita.

Beliau juga berkata lantikan bekas anggota Pasukan Petugas Khas iaitu Mohd Sidek Hassan dan Sow yang menyarankan RCI kepada Kabinet sebagai pesuruhjaya RCI itu sendiri berat sebelah.

Dr Mahathir telah memfailkan pelucutan kelayakan Mohd Sidek Hassan dan Saw yang mengetuai RCI. Kes itu masih belum selesai di mahkamah rayuan.

Beliau berkata anggota RCI harus membuat “cadangan yang betul tanpa membantu Najib melaksanakan niat jahatnya.” –