NAJIB IKRAR KUKUHKAN EKONOMI AMERIKA

U.S. President Donald Trump welcomes Malaysia's Prime Minister Najib Razak to the White House in Washington, U.S. September 12, 2017. REUTERS/Jonathan Ernst

IKUT laporan Berita Harian Online yang memetik Bernama, Malaysia akan guna duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.

 
Trump (kiri) dapat jamiman Najib

Inilah yang Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, kata dia janji kepada Presiden Amerika, Donald Trump, dalam pertemuan di Rumah Putih pada 13 September.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Najib berkata, KWSP sahaja dijangka melabur di antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (kira-kira RM13 bilion dan RM17.2 bilion) di negara itu.

MAB akan membeli lebih banyak pesawat Boeing. Kata Najib, MAB komited untuk membeli 25 buah 737-MAX-10 dan lapan 787 Dreamliners serta menambah 24 atau 25 buah lagi 737-MAX-10 dalam masa terdekat bernilai AS$10 billion (RM43 bilion). (Boleh baca lanjut di sini). 

Apa kata rakyat jelata Malaysia?

Adakah patut dan termampu oleh kita untuk guna duit negara kita bantu perkukuhkan ekonomi Amerika?

Nak melabur di negara sendiri pun kita tak berapa mampu sehingga terpaksa berhutang berpuluh bilion ringgit daripada China, apa halnya kita nak bantu kukuhkan ekonomi Amerika?

Kalau melabur untuk cari keuntungan atau beli kapal terbang untuk MAB itu logiklah. Tapi nak bantu kukuhkan ekonomi Amerika bunyi macam cerita Mat Jenin.

Ekonomi Malaysia terlalu kecil untuk bercita-cita besar bantu ekonomi Amerika. Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) kita tahun ini dianggarkan AS$309 bilion (kira-kira RM1,359.6 bilion) saja berbanding Amerika sebanyak AS$19.4 trilion (RM85.36 trilion).

Yang sepatutnya berlaku ialah Amerika bantu kita dengan menambah pelaburan di negara kita. Sebaliknya makin banyak pelabur Amerika tarik keluar modal mereka dan berpindah ke China, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Tak tahulah mungkin Bernama tak lapor yang Najib lobi Trump supaya Amerika labur semula di Malaysia!

Mengenai keganasan, Bernama petik Trump sebagai berkata: “Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar  Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu.

“Jadi itu amat penting bagi Amerika Syarikat.”

Bagaimanapun saya mungkin terlepas pandang hasil perbincangan Najib-Trump mengenai pembersihan etnik ke atas orang Rohingya oleh rejim Burma yang media massa arus perdana kata antara sebab mengapa Najib pergi jumpa Trump.

Kalau sesiapa ada maklumat tolong panjangkan kepada saya supaya kita boleh kongsi bersama. Terima kasih.

– http://kadirjasin.blogspot.my

.