NAJIB HENTAM PEMBANGKANG, PUJI HADI DALAM PERUTUSAN TAHUN BARU

PERDANA Menteri Najib Razak mengambil peluang dalam ucapan tahun barunya hari ini dengan mengkhususkan serangannya pada ketua gabungan parti pembangkang Dr Mahathir Mohamad.

Beliau antara lain membangkitkan mengenai isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlaku pada 1990-an.

Najib mengulangi kenyataan pemimpin kerajaan bahawa siasatan itu diadakan bagi menyahut desakan daripada ahli politik sepert Lim Kit Siang.

“Tahun lepas kita memenuhi tuntutan itu dengan menubuhkan panel yang dianggotai ahli berwibawa untuk membuat siasatan,” kata Najib dalam perutusan Tahun Barunya yang disiarkan di laman webnya hari ini.

Tambah Najib, pentadbirannya tidak mahu membenarkan kesilapan di masa lalu tidak diselesaikan dan menambah, 2017 merupakan tahun penting di mana kerajaan telah “meningkatkan usaha dalam memastikan tadbir urus yang baik”.

Najib berkata demikian tanpa menyebut mengenai gesaan pembangkang sebelum ini agar siasatan RCI turut diadakan bagi menyiasat 1MDB, susulan tindakan kerajaan mengklasifikasikan laporan siasatan ke atas dana pelaburan tersebut di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Laporan itu melibatkan dokumen yang disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Bank Negara Malaysia dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam ucapannya hari ini, Najib sebaliknya berkata rakyat Malaysia berhak mengetahui apa yang berlaku ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir.

“Mereka (RCI) mendapati bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion ketika itu, yang mereka katakan, mempunyai ‘kesan negatif signifikan terhadap ekonomi negara, telah merosakkan peluang pembangunan negara’.”

“Adalah wajar dan menjadi hak rakyat Malaysia untuk mengetahui apa yang telah berlaku, sepertimana wajar untuk SPRM menunjukkan bahawa mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan, dan saya telah mengumumkan pada Julai lalu bahawa kerajaan sedang menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diwujudkan pada masa seorang bekas pemimpin.

“Rakyat Malaysia telah membayar harga yang tinggi hanya supaya beberapa orang rakan bekas pemimpin itu boleh mengaut keuntungan, tanpa memikirkan kesan buruknya kepada rakyat,” kata Najib.

Perdana Menteri Najib Razak berkata  rakyat Malaysia berhak mengetahui apa yang berlaku ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.
Perdana Menteri Najib Razak berkata rakyat Malaysia berhak mengetahui apa yang berlaku ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Perdana manteri juga berkata kelemahan tadbir urus, tidak kira di dalam sektor awam mahupun swasta tidak boleh diterima.

“Ia mesti disiasat dan diperbetulkan – bukan hanya kerana ia perlu dilakukan untuk Malaysia terus melangkah menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi kerana ia adalah tuntutan rakyat.

“Rakyat Malaysia juga berhak menerima yang lebih baik daripada ahli politik mereka. Parti pembangkang mempunyai peranan yang mulia untuk meneliti undang-undang dan memastikan Kerajaan melaksanakan tanggungjawab.

“Mereka boleh dan sepatutnya memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan penuh tanggungjawab, berprinsip dan beretika,” kata Najib yang tidak dipertanggungjawabkan atas kerugian yang dialami 1MDB.

Najib seterusnya berkata pembangkang bersikap hina dan tidak bertanggungjawab kerana mensabotaj ekonomi Malaysia dengan membuat dakwaan liar serta palsu yang boleh menjejaskan kebajikan dan kehidupan rakyat.

“Berbohong mengenai negara mereka sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah perbuatan terkutuk dan tidak bermoral – mereka ini mengkhianati Malaysia.”

Najib juga menyifatkan Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin Pakatan Harapan sebagai “seorang bekas pemimpin (yang) cuba menggulingkan Kerajaan yang dipilih secara demokratik untuk merealisasi cita-citanya untuk anaknya”.

“Dalam demokrasi, yang paling penting adalah keinginan dan kehendak rakyat teramai seperti yang tercatat dalam peti undi, bukan kehendak peribadi seseorang untuk mewujudkan dinasti.

“Juga, amatlah tidak bertanggungjawab bagi ahli politik untuk menentang sesuatu semata-mata  demi membangkang Kerajaan – meskipun secara peribadi mereka bersetuju bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan itu adalah tepat.

Dalam ucapan itu, Najib turut mendakwa ahli ekonomi dunia memuji pelaksanaan GST yang menurutnya turut dilaksanakan negara lain termasuk India dan Arab Saudi.

Tambahnya, beliau kesal kerana pemimpin pembangkang menyokong konsep 1Malaysia secara senyap-senyap tetapi menentang konsep itu atas kepentingan peribadi.

Puji PAS

Najib sebaliknya mengambil sikap berbeza ketika menyebut mengenai seorang lagi pemimpin pembangkang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memimpin PAS.

Beliau menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin yang mengambil pendekatan politik matang kerana dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam isu tertentu.

“Cara yang lebih baik telah ditunjukkan oleh PAS di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang. Meskipun kami berada di pihak yang berlainan, tetapi kami menolak ke tepi segala perbezaan apabila ia berkaitan kepentingan bersama, seperti dalam isu Rohingya dan Palestin.

“Inilah politik lebih matang yang membina negara kita, bukan cuba merobohkannya; ia membantu menyatukan kita, bukan memecahkan kita; dan ia menumpukan kepada apa yang kita ada bersama, dan bukannya menjadikan kepelbagaian kita sebaga suatu kelemahan – bagi kerajaan, kepelbagaian kita adalah kekuatan kita, dan kita tidak akan berhenti mempertahankannya.”

Perdana Menteri Najib Razak berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang lebih baik berbanding pemimpin pembangkang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.
Perdana Menteri Najib Razak berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang lebih baik berbanding pemimpin pembangkang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017.

Seterusnya, Najib mengingatkan rakyat Malaysia bahawa mereka boleh memilih parti kerajaan pada pilihan raya umum akan datang kerana parti tersebut menurutnya akan terus berkhidmat kepada rakyat.

Parti pembangkang pula hanya menawarkan angan-angan dan membangkitkan perasaan tidak puas hati, katanya.

“(Pilih) sebuah Kerajaan yang akan berterusan bekerja demi kebaikan rakyat, dengan hala tuju dan polisi jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang – atau parti yang hanya berkempen secara negatif, dengan harapan untuk menyebabkan kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat untuk memenangi undi, kerana mereka tidak mempunyai apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia kecuali angan-angan populis yang hanya akan merosakkan negara.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.