NAJIB HARUS BANGGA DENGAN KEBERANIAN NAZRI, SEGERA UMUMKANNYA MEWAKILI UMNO, KERAJAAN

Sebagai menteri kanan dan telah menganggotai kabinet sejak era Tun Mahathir Mohamad lagi, kekecewaan Nazri Aziz tentunya dapat difahami apabila UMNO dan kerajaan seperti mahu menjarakkan diri daripada dikaitkan dengan debat yang disertainya pada 25 Mac depan nanti.

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau pun keliru apabila UMNO dan kerajaan mengatakan beliau tidak mewakili mereka sedangkan pembangkang menganggapnya mewakili kerajaan.

Senang saja, saya mewakili pengundi Padang Rengas kerana saya adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, kata Nazri seakan-akan memilih jalan tengah.

Debat antara Nazri Aziz dengan Tun Mahathir, jika tidak dibatalkan pada saat-saat akhir, akan diadakan pada 25 Mac ini, jam 3.00 petang di MRSM Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak.

Meskipun tajuk dan isi perdebatan ialah berkaitan isu-isu yang melingkari Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan seperti 1MDB, dana RM2,600 juta, hutang RM55 bilion untuk landasan keretapi Pantai Timur, skandal BMF dan lain-lain, keberanian Nazri menyahut cabaran Tun Mahathir untuk berdebat nampaknya langsung tidak dihargai.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani awal-awal lagi mengatakan penyertaan Nazri dalam debat itu tidak mewakili kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa juga menolak Nazri sebagai mewakili UMNO dalam debat tersebut dengan alasan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.

Kata Annuar lagi, penglibatan Nazri adalah atas kapasiti peribadinya.

Daripada satu segi, meskipun tidak dianggap mewakili UMNO dan kerajaan, Nazri adalah satu-satunya pemimpin UMNO dan menteri yang berani berdebat dengan Tun Mahathir.

Yang lain-lain seperti Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Azalina Othman Said atau Tengku Adnan Tengku Mansor, walaupun mereka juga kerap mengeluarkan kenyataan mengkritik Tun Mahathir, tetapi keberanian mereka hanyalah sekadar berani bercakap di depan mikrofon yang dihadiri media atau penyokong sendiri saja.

Mereka itu sama saja seperti Najib, kalau bercakap secara sehala bukan main lagi lagaknya, tetapi langsung tidak berani memunculkan diri dalam program NothingToHide, meskipun ia diadakan di PWTC yang merupakan bangunan milik UMNO sendiri.

Sebab itu, keberanian Nazri untuk berdebat dengan Tun Mahathir sekurang-kurangnya haruslah dihargai kerana beliau satu-satunya pemimpin UMNO dan kerajan yang berani tampil secara berdepan dengan musuh utama Najib semata-mata untuk mempertahankan Perdana Menteri.

Di sebalik dilabel pengecut dan tidak berani bersemuka dengan Tun Mahathir, Najib setidak-tidaknya dapat menebus gelaran yang memalukan dirinya itu jika beliau dapat segera mengumumkan bahawa penyertaaan Nazri dalam debat pada 25 Mac nanti adalah mewakili UMNO dan kerajaan.

Najib harus berbangga dengan  Nazri serta memberi pengiktirafan atas keberanian menteri kabinetnya itu.

Dengan adanya mandat mewakili UMNO dan kerajaan juga, Nazri juga tentunya lebih bersemangat dan akan tampil dengan penuh yakin bersama hujah-hujahnya dalam debat itu nanti.

Ayuh Najib…segeralah tampil memberikan pengiktirafan kepada Nazri dan jangan biarkan beliau keseorangan, lemah semangat dan hanya disokong oleh penyokong-penyokongnya dari Padang Rengas saja.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.