Najib: Dua individu ancam perpaduan negara

SHAH ALAM – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia bertekad untuk meneruskan agenda 1 Malaysia bagi mengukuhkan keharmonian antara kaum  di negara ini.

Najib berkata, sejak akhir akhir ini, perpaduan negara sering diacam oleh dua individu.

Melalui mesej radio terbaharu, beliau menyimpulkan usaha menggugat keharmonian kaum ini berlaku dalam dua fasa dan yakin fasa ketiga dirancang pihak-pihak berkenaan.

“Fasa pertama pada 2008, di mana ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman. Beliau mula mencabar perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dan menggunakan ia sebagai isu politik untuk meraih undi.

“Sebelum ini tidak ada pun pertikaian pada Perlembagaan dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni. Kesannya, selepas pilihan raya umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum,” katanya.

Menurut Najib, fasa kedua pula bermula pada tahun 2016 apabila “seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk satu lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah kepada lima”.

Beliau berkata, perpaduan bangsa yang longgar ditambah dengan desakan melalui perhimpunan yang  berselindung di sebalik imej bipartisan dan multiracial memberi hentaman demi hentaman kepada parti pemerintah.

“Parti yang mentadbir Pulau Pinang, yang sudah didakwa mengamalkan rasuah, tidak diendahkannya.

“Lebih menyedihkan lagi, pemimpin lama itu sanggup dipergunakan oleh perhimpunan memecah belahkan rakyat ini, menuduh kerajaan perkara yang sama beliau dituduh dahulu,” ujarnya lagi.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata, ancaman fasa ketiga dijangka berlaku kerana kedua-dia individu itu kini dilihat berbaik-baik.

“Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan dua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya pada fasa ketiga.

“Kerana itulah, agenda 1Malaysia wajib diteruskan.” katanya.

– Sinar Harian

.