NAJIB DILAPOR BERCUTI KE BALI DENGAN JET KERAJAAN

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dilaporkan bercuti bersama keluarga menggunakan pesawat udara milik kerajaan.

Berdasarkan laporan JawaPost.com pada 27 Jun lalu perdana menterii dan rombongannya tiba di Bali sehari sebelum itu menggunakan kapal terbang dengan nombor pendaftaran 9M-NAA.

Ia adalah satu daripada pesawat udara milik kerajaan Malaysia yang digunakan untuk membawa tetamu kehormat.

Media lain di Indonesia merujuk kapal terbang dinaiki Najib sebagai “pesawat diraja” atau “jet pribadi” dan dilaporkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Kuta padajam 12.53 tengah hari.

Media tempatan melaporkan ketibaan Najib dan 23 yang lain disambut oleh pegawai kanan Bali, termasuk gabenornya, Made Mangku Pastika, sebelum dibawa ke tempat penginapan mereka di Hotel St Regis di Nusa Dua.

Gambar disiarkan media menunjukkan ketibaan itu turut menampakkan sisi kiri enjin pesawat berkenaan sebagai latar belakang tetapi nombor penndaftarannya tidak kelihatan.

Demi keselamatan

Bagaimanapun komponen pada pesawat berkenaan didapati konsisten dengan pesawat 9M-NAA dan satu lagi kapal terbang kenamaan milik kerajaan, 9M-NAB.

Najib dan keluarganya dilaporkan berada di Bali sehingga 30 Jun sebelum berlepas untuk menyambung percutian mereka di Perth, Australia.

Tidak dapat dipastikan jenis pengangkutan yang digunakan untuk perjalanan berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini menjelaskan Najib berhak menggunakan jet kerajaan untuk bercuti.

Malaysiakini pada 3 Januari lalu melaporkan Nur Jazlan sebagai berkata walaupun lebih elok jika Najib menguruskan penerbangannya secara peribadi, ada isu lain yang turut perlu dipertimbangkan.

“Kadang-kadang untuk tujuan keselamatan adalah lebih baik untuk beliau (Najib) menggunakan kemudahannya sebagai perdana menteri untuk menguruskan pengangkutan yang diperlukan untuk bercuti,” katanya.

Bagaimanapun, percutian Najib dan keluarganya ke Australia ketika itu menjadi bahan kecaman ahli politik pembangkang.

Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, misalnya berkata percutian berkenaan menunjukkan Najib dan keluarganya terpisah daripada realiti kehidupan rakyat Malaysia.

Kena bayar semula

Katanya, ketika rakyat biasa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan banjir yang melanda, Najib dan keluarganya pula bercuti dengan menggunakan jet kerajaan.

“Sementara rakyat muram dan berjimat cermat dengan naiknya harga petrol di ambang tahun baru, perdana menteri diberitakan terbang dengan keluarga bercuti menaiki jet mewah kerajaan menjelajah Australia.

“Tanpa menghayati sensitiviti rakyat, gambar-gambar bermain golf dan beriadah mewahsekeluarga disebarkan di Facebook oleh ahli keluarganya,” kata Raja Kamarul Bahrin.

Berdasarkan jawapan di parlimen pada Mei 2015, selain Najib pesawat udara VVIP itu berhak digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, dan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun syarat kegunaan berkenaan adalah tidak jelas sama ada bayaran semula perlu dibuat atau tidak jika penerbangan itu bersifat peribadi.

Malaysiakini pernah melaporkan bagaimana pasangan atau anggota keluarga pemimpin kerajaan boleh menggunakan jet kerajaan masing-masing.

Sebagai contoh perdana menteri Kanada dan keluarganya tidak dibenarkan menaiki kapal terbang komersial walaupun untuk bercuti atas alasan keselamatan.

Bagaimanapun setiap anggota keluarga terbabit perlu membayar semula kos penerbangan itu yang dibuat berdasarkan kadar tiket kelas ekonomi.

AS juga mengamalkan syarat sama. Bagaimanapun anggota keluarga perlu membayar kos penerbangan berdasarkan harga tiket untuk kelas pertama, selain harga makanan yang diambil sepanjang penerbangan berkenaan.

– M’kini

.