Najib dijadualkan bertemu dengan Ma dalam mesyuarat meja bulat bersama tokoh bisnes terkemuka China.

Dalam taklimatnya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri ke China yang akan bermula esok, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, Najib bakal melancarkan Alitrip Malaysia Tourism Pavilion, salah satu platform e-dagang terbaru yang diper­kenalkan dengan kerjasama Alibaba Group.

“Platform e-dagang itu akan memudahkan pelancong, terutama­nya pelancong warga China, untuk mengenali destinasi menarik pelancongan di Malaysia.

“Melalui penyertaan Tourism Malaysia dalam Alitrip, Malaysia akan dapat memperluaskan lagi dan memperkenalkan pelbagai destinasi dan produk pelanco­ngan yang menarik kepada rakyat China, selaras dengan usaha kerajaan Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat Malaysia,” katanya.

Zainuddin berkata, pada tahun lepas, seramai 1.6 juta pelancong warga China telah mengunjungi Malaysia.

Pada tahun ini, katanya, kerajaan Malaysia menyasarkan seramai dua juta pelancong warga China sampai ke destinasi-destinasi menarik di Malaysia.

Malah difahamkan, terdapat cadangan untuk membawa sehingga empat juta pelancong dari China ke destinasi-destinasi pelancongan di seluruh Malaysia setiap tahun.

Bagi tempoh Januari hingga September 2016, sebanyak 1.4 juta visa telah dikeluarkan oleh Pejabat Imigresen Malaysia di China kepada warga China, berbanding dengan hanya 926,609 visa bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ditanya adakah kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 pada 8 Mac 2014 masih menjejaskan kunjungan pelancong China ke Malaysia, Zainuddin memberitahu, berdasarkan statistik kedatangan pelancong China, tragedi tersebut tidak lagi memberi kesan kepada industri pelancongan di Malaysia.

Mengenai perjanjian persefahaman yang akan dimeterai semasa Perdana Menteri berada di China, Zainuddin berkata, Najib akan menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian antara kerajaan kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan pembinaan.

Beliau menjangkakan sebanyak 10 perjanjian persefahaman akan ditandatangani antara kerajaan China dan Malaysia dan juga lebih 10 perjanjian persefahaman antara syarikat swasta kedua-dua negara.

Antaranya, perjanjian persefahaman berkaitan pelaburan dalam sektor-sektor seperti pelaburan, pembangunan, pembinaan, kewangan, e-dagang, pengeluaran panel solar, pembinaan pelabuhan, pembinaan paip gas dan pembinaan loji desalinasi air laut.

Perdana Menteri juga akan membuat beberapa lawatan di luar Beijing, termasuk mengunjungi Taman Perindustrian Baru Gu’an di wilayah Hebei di selatan Beijing dan menaiki kereta api laju dari Beijing ke Tianjin, sebuah kota yang terletak di tenggara ibu kota China, yang perjalanan sejauh 138 kilometer hanya mengambil masa 30 minit.

Di Tianjin, Perdana Menteri akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian operasi untuk projek desalinasi air laut dan pembuatan garam antara syarikat Xianda dari Malaysia dengan Suruhanjaya Pembangunan Kawasan Ekonomi-Teknologikal Tianjin. – UTUSAN

Seperti lazimnya semasa beliau mengadakan lawatan ke luar negara, kata Zainuddin, Perdana Menteri dan isteri akan menghadiri majlis makan malam bersama-sama dengan 500 orang komuniti dan pelajar-pelajar Malaysia di Beijing pada Jumaat ini.

Jumlah pelajar yang berdaftar dengan Pejabat Education Malaysia di Beijing ketika ini adalah seramai 814 orang yang terdiri daripada 403 orang di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan Beijing Language and Cultural University (BLCU), 29 orang tajaan MARA, 25 orang tajaan Sime Darby, serta selebihnya 357 orang adalah pelajar persendirian.

Perdana Menteri juga dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongzhimen di sini, sebuah masjid yang dibina pada era Dinasti Yuan (1271-1368). Masjid itu telah pun berusia kira-kira 700 tahun.

UTUSAN

.