NAJIB DIGESA AMBIL TINDAKAN TERHADAP PEGUAM NEGARA AS

Perdana menteri Datuk Seri NajibRazak perlu mengambil tindakan terhadap kenyataan peguam negara Amerika Syarikat Jeff Sessions.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan Sessions mengenai dana kekayaan negara, 1MDB merupakan satu ‘penghinaan’ kepada negara.

“Najib mesti panggil duta besar AS dan failkan protes rasmi kepada rakan golfnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap Sessions kerana meremehkan dan memusnahkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa,

“Malah, dia harus segera memfailkan aduan rasmi kepada Trump dan menuntut permohonan maaf daripada kerajaan AS,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini semalam melaporkan Sessions ketika berucap di Forum Global Dalam Pemulihan Aset (Gfar), menyifatkan dakwaan penyelewengan dana oleh 1MDB sebagai “kleptokrasi paling buruk”.

Beliau juga mendedahkan bahawa hampir separuh daripada kutipan rasuah AS$ 3.5 bilion yang dirampas oleh kerajaan Amerika Syarikat setakat ini datang dari saman pelucuthakan sivil berkaitan 1MDB.

 

Selain itu Putrajaya juga dilapor tidak memberikan jawapan terhadap permintaan Bank Dunia untuk memasukkan isu 1MDB sebagai kajian kes dalam forum berkenaan.

Pua berkata tuduhan terhadap 1MDB menjadi lebih serius apabila Peguam Negara AS itu mengakuinya di Gfar, sebuah forum global yang dihoskan oleh Bank Dunia dan Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Beliau mempersoalkan sama ada Najib akan membiarkan negara asing seperti AS memusnahkan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa tanpa perdana menteri bercakap untuk mempertahankan kehormatan Malaysia.

“Adakah dia (Najib) fikir ucapan Sessions tak beri impak kepada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan?” soal Pua.

– M’kini

.