NAJIB DICABAR AKUI NAZRI WAKILNYA BERDEPAN DR M

Datuk Seri Najib Razak dicabar untuk “memperakui dan merestui” Datuk Nazri Aziz sebagai wakilnya dalam debat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, kata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar itu, Nazri sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno dan menteri mahu membela Najib, Umno dan kerajaan.

“Saya mencabar PM Najib memperakui dan merestui Datuk Nazri Aziz adalah mewakili beliau yang penakut untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim dan pengecut untuk berdepan dengan Tun M dalam program ‘NothingTo Hide’ sebaik mengetahui Tun M sudah menanti kedatangannya.

“PM Najib tidak perlu keberatan atau menghalang menteri pelancongan dan kebudayaan daripada mengadakan debat itu, walaupun mungkin tajuk yang dipersetujui berkaitan secara langsung dengan Umno, kerajaan BN atau terkena ‘batang hidung’ perdana menteri sendiri”,” katanya.
Mahfuz juga berkata Najib mesti sentiasa berlapang dada dan jangan sesekali melarang Nazri untuk membuktikan keberaniannya.

“Debat antara Tun M-Nazri tentunya amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan sesiapa saja,” kata bekas naib presiden PAS itu.

“Keberanian Datuk Nazri Aziz tidak ada pada PM Najib, pimpinan Umno dan anggota kerajaan yang lain,” katanya.

– M’kini

.