NAJIB DAN SHAFEE MESTI JAWAB ISU BAYARAN RM9.5 JUTA

Pendedahan terkini Sarawak Report telah memberi kejutan yang besar kepada negara dengan laporan bahawa Najib Razak telah memindahkan wang kepada akaun pendakwaraya khas kes Anwar Ibrahim, Shafee Abdullah, sebanyak RM9.5 juta melalui dua bayaran, termasuklah satu bayaran yang dilakukan dua minggu sebelum Anwar didapati bersalah.
Duit itu telah dipindahkan daripada akaun AmBank persendirian Najib, iaitu akaun sama yang telah diberikan dana oleh anak syarikat 1MDB, SRC International, yang juga telah meminjam wang daripada Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP).
Shafee sangat dikenali sebagai seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor, malah perlantikan beliau sebagai pendakwaraya kes fitnah II Anwar telah menjadi tanda tanya. Ini kerana kerajaan memutuskan untuk melantik seoarang peguambela sebagai pendakwaraya khas sedangkan Shafee juga diketahui ramai seakan-akan mempunyai agenda tersendiri terhadap Anwar dengan berulang kali membuat kenyataan-kenyataan yang menghina, mengutuk serta memfitnah Ketua KEADILAN tersebut.
Bukan itu sahaja, Shafee juga telah dilaporkan berada di kediaman Najib ketika Saiful Bukhari bertemu Perdana Menteri untuk membuat “aduan” terhadap Anwar.
Selepas Anwar didapati bersalah, Shafee meneruskan agenda beliau dengan menjelajah untuk menerangkan kes sodomi dengan membuat fitnah baru terhadap Anwar yang langsung tidak dibangkitkan di dalam mahkamah. Perbuatan jahat untuk memburukkan lagi Anwar ini bukan sahaja menghina mahkamah, malah ia jelas menunjukkan niat beliau untuk menjatuhkan Anwar bagi pihak Najib.
Dengan pendedahan Sarawak Report ini, jelaslah bahawa terdapat urusan yang mencurigakan diantara Najib dan Shafee, dan perlantikan beliau sebagai pendakwaraya khas hanyalah bermotifkan politik.
Jika tidak, mengapa Perdana Menteri perlu pindahkan wang dengan jumlah yang begitu besar kepada akaun peguam tersebut?
Saya menggesa Najib dan Shafee untuk menjelaskan perkara ini dan menerangkan dengan jujur mengenai urusan wang ini. Peguam Negara Mohamed Apandi Ali juga mesti menjelaskan tindakan apa yang akan diambilnya.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN