Najib boleh pandu Uber sebelum malam, sindir Rafizi

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kerja sambilan sebagai pemandu Uber untuk menampung perbelanjaan hariannya.

Rafizi yang juga naib presiden PKR memberitahu, berbanding memotong peruntukan beberapa sektor yang penting tahun hadapan, Najib sepatutnya tidak perlu mengambil gaji dan elaun imbuhannya demi menyelamatkan rakyat yang kini hidup dalam kesengsaraan serta ketidak tentuan ekonomi.

“Saya mempunyai cadangan yang lebih baik yang boleh dilakukan oleh Najib untuk membantu rakyat dengan tidak mengambil gaji, kos tanggung dan lain-lain untuk memotong perbelanjaan kerajaan agar ia dapat disalurkan kepada rakyat.

“Untuk menampung perbelanjaan harian beliau, saya mencadangkan Najib buat kerja sambilan sebagai pemandu Uber pada sebelah malam lagipun beliau sudah menjadi Menteri Kewangan II untuk menguruskan hal kewangan kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Selain itu, dalam sidang medianya juga, Rafizi turut mengkritik pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat lalu yang memotong peruntukan sektor penting seperti pendidikan, pendidikan tinggi dan kesihatan.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan sebanyak RM3.91 bilion yang dikekalkan kepada konsesi Lebuhraya Lembah-Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Menurutnya, peruntukan yang dikekalkan terhadap dua konsesi lebuh raya itu bersamaan dengan 12 peratus daripada perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan yang diperuntukan bagi 2017 iaitu RM32 bilion.

“Ini bermakna pada masa peruntukan kepada rakyat dipotong dengan drastik, Najib Razak mengekalkan RM3.9 bilion kepada dua konsesi lebuhraya ini dengan bersamaan 12 peratus perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan yang diperuntukkan bagi 2017 iaitu RM32 bilion.

“Lebih menjengkelkan, rakyat tahu bahawa perbelanjaan kerajaan dibiayai hutang kerajaan dan kutipan cukai GST dan cukai-cukai lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata akan menulis surat rasmi kepada Najib di Jabatan Perdana Menteri khusus kepada Unit Perancangan Ekonomi, Menteri Kerja Raya dan Menteri Besar Selangor agar kelulusan peruntukan kepada dua konsesi lebuhraya itu dibekukan secepat mungkin.

MKINI

.