NAJIB BOHONG LAGI? ‘HUTANG 1MDB BUKAN HUTANG KERAJAAN’

Hutang 1MDB dan projek yang berkaitan dengannya tidak diklasifikasikan sebagai hutang kerajaan persekutuan, kata menteri kewangan.

“Oleh itu, hutang syarikat 1MDB dan projek yang berkaitan dengannya tidak menyumbang kepada jumlah hutang kerajaan persekutuan,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga perdana menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen terhadap soalan lisan Teresa Kok (DAP-Seputeh).

Anggota parlimen pembangkang itu mahu tahu jumlah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 30 September 2015 dan 30 September 2016.

Beliau juga mahu tahu jumlah hutang yang disumbangkan oleh syarikat dan projek berkaitan 1MDB.

Dalam jawapannya, Najib berkata jumlah hutang kerajaan persekutuan pada akhir Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 bilion atau 52 peratus daripada KDNK.

Daripada jumlah berkenaan, katanya lagi, sebanyak 95.9 peratus (RM628.98 bilion) adalah hutang domestik, sementara 4.1 peratus (RM26.9 bilion) lagi merupakan pinjaman luar pesisir.

“Jika dibandingkan pada Jun 2015, hutang kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM627.5 bilion atau 54.2 peratus daripada KDNK.

“Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” katanya.

Sementara itu, berkaitan data berkaitan hutang bagi September 2016 melalui laporan ekonomi suku ketiga tahun ini, Najib berkata ia akan diterbitkan pada November (bulan depan).

MKINI

.