NAJIB BERTEMU RAJINIKANTH UNTUK PANCING UNDI KAUM INDIA

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri bersama delegasinya berada di India sekarang. Semua pemimpin-pemimpin utama MIC juga berada bersamanya di negara itu. Apakah tujuan utama beliau melawat negara  India?

Negara India yang dikenali sebagai benua kecil mempunyai 1.33 bilion penduduk iaitu lebih kurang 16.8% daripada penduduk dunia. India juga menjadi kuasa ekonomi yang pesat berkembang di rantau Asia. Kini, India juga merupakan sebuah negara pembekal tenaga intelek ke seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang progresif dengan India. Potensi perniagaan dan pasaran adalah cukup luas di negara itu. India merupakan pembeli minyak kelapa sawit yang utama daripada Malaysia. Kita juga sedang berusaha untuk membuka luas pintu kepada pelancong-pelancong dari India.

Oleh yang demikian, hubungan diplomatik yang baik untuk mengukuhkan perdagangan antara kedua-dua negara adalah wajar. Perjumpaan diantara pemimpin-pemimpin utama Malaysia dan India dalam konteks itu tidak boleh dipertikaikan.

Tetapi, lawatan Perdana Menteri ke rumah pelakon paling terkemuka di Tamil Nadu iaitu Superstar Rajinikanth menimbulkan banyak persoalan dikalang masyarakat di Malaysia. Pelbagai reaksi dilihat dalam media sosial mengenai soal ini. Apakah niat pemimpin utama negara kita melawat pelakon terkenal itu?

Adakah ini dilakukan dengan niat untuk memancing undi kaum India  dalam PRU14 nanti? Adakah lawatan ini dilakukan dengan tujuan melembutkan hati peminat-peminat Superstar Rajinikanth? Adakah lawatan ini adalah satu lagi usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB?

Superstar Rajinikanth merupakan seorang hero yang sentiasa memperjuangkan kebaikan dan keadilan dalam filem-filem lakonannya. Banyak unsur-unsur motivasi diselitkan dalam pertuturan dan lagu-lagu  filem beliau. Saya juga merupakan peminat setia kepada pelakon bergaya yang menjadi idola sebahagian besar golongan muda hari ini.

Saya rasa terkilan melihat Perdana Menteri Malaysia yang diselubungi denģan pelbagai skandal melawat  pelakon popular itu. Saya melihatnya seolah-olah satu pertemuan watak ‘hitam’ dan ‘putih’. Saya yakin pengundi-pengundi kaum India tidak terpedaya dengan gimik politik Perdana Menteri. Kita harus melawan kuasa jahat dan kezaliman seperti yang ditonjolkan oleh hero filem Tamil itu dan bukanlah sebaliknya.

Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 1 April 2017 di Ipoh.