Najib ‘berbual mesra’ dengan Obama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama bertemu dalam sebuah majlis makan malam sempena sidang kemuncak Asean di Laos malam tadi.

Memuat naik gambar itu ke Facebook, Najib yang ditemani isterinya Rosmah Mansor berkata beliau ‘berbual mesra’ dengan Obama.

“Bagusnya bertemu kamu Mr President!” tulis perdana menteri.

Pertemuan malam tadi adalah yang pertama sejak Jabatan Kehakiman (DOJ), AS memfailkan saman sivil terhadap dakwaan salah guna wang 1MDB.

Obama pernah melawat Malaysia dua kali, yang menyaksikan mereka bergambar selfie dan Najib menumpang kereta rasmi presiden AS yang digelar The Beast.

Pada Disember 2014, kedua-dua pemimpin itu dirakam bermain golf di Hawaii.

DOJ memfailkan saman untuk menyita harta tanah di Los Angeles bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ia sebahagian daripada dakwaan penyelewengan AS $3.5 bilion dana itu.

Aset-aset dirujuk termasuk emper, rumah besar, karya seni, jet peribadi, kapal layar dan hasil daripada filem Hollywoodd The Wolf of Wall Street lakoran bintang terkenal Leonardo DiCaprio.

DOJ menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan hartawan Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga Najib.

Individu misteri Malaysian Official 1 (MO1) yang didakwa menerima keseluruhan AS$731, termasuk AS$681 yang dimasukkan ke akaun peribadinya, disebut 36 kali dalam dokumen itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesahkan Najib sebagai MO1 tetapi menafikan beliau menjadi sebahagian daripada siasatan itu.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali telah membersihkan nama Najib dan beliau sendiri menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. – M’kini

.