NAJIB BAYAR JUTA SANA, JUTA SINI, TAPI KENAPA ADUN BN SENDIRI DIBIARKAN MUFLIS?

Speaker DUN Kelantan, Abdullah Ya’kub semalam mengisytiharkan Adun BN Nenggiri dalam kawasan Parlimen Gua Musang, Mat Yusoff Abd Ghani hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana didapati telah muflis.
Ia berikutan surat pemakluman yang diterima daripada Jabatan Insolvensi Malaysia mengenai kebankrapan Mat Yusoff sejak 9 November tahun lalu.
Dengan itu, kerusi DUN Nenggiri kini diisytiharkan kosong, tetapi pilihanraya kecil tidak perlu diadakan kerana sudah melebihi tempoh tiga tahun selepas tarikh pilihanraya umum yang lalu.
Kenapa Adun BN dibiarkan muflis begitu saja tanpa dibantu oleh sesiapa?
Banyak sangatkah hutang yang ditanggungnya yang menyebabkan kemuflisan itu sehingga nasib Mat Yusoff dibiarkan begitu saja dan UMNO lebih sanggup melihat kawasan Nenggiri itu kosong daripada membantu menyelesaikannya?
Sebenarnya bukanlah amalan biasa bagi UMNO dan BN membiarkan begitu saja wakil rakyatnya yang menghadapi masalah kewangan, lebih-lebih lagi jika mengakibatkan kekosongan kerusi kerana ia melibatkan imej dan maruah parti di mata rakyat.
Tetapi, kenapa tidak ada sesiapa yang membantu Mat Yusoff?
Bukankah Najib Razak, Presiden UMNO dan Pengerusi BN disahkan mempunyai banyak wang dan didedahkan pula oleh pelbagai media sanggup membayar jutaan ringgit kepada pelbagai pihak sejak beliau menjadi Perdana Menteri?
Beliau didapati sanggup membayar juta sana, juta sini, juta situ dan juta lagi di sinun, tetapi kenapa Adun BN sendiri tidak mahu dibantu dan dibiarkan muflis begitu saja?
Jika Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapha Mohamed sendiri mengakui Mat Yusoff adalah wakil rakyat yang baik, bertanggungjawab dan menjalankan kerjanya dengan baik selama ini, tidakkah mungkin masalah kebankarapan yang dihadapi beliau itu ada kaitan dengan usaha perniagaan bagi menambah beban kewangan bagi menjadikannya seorang wakil rakyat yang berkesan?
Jika begitu, mengapa masalah yang dihadapinya tidak cuba diselidiki dan seterusnya diberikan pertolongan?
Bukankah amat memalukan kerana dalam tempoh tidak sampai setahun sebelum PRU 14 diadakan, UMNO dan BN sudah hilang satu kerusi kerana kebankrapan seorang wakil rakyatnya yang seolah-olah disengajakan?
Di mana duit Najib yang banyak-banyak itu?
Apakah susah sangat membantu cuma seorang wakil rakyatnya yang sedang bermasalah sedangkan sudah banyak juta Najib curahkan kepada pelbagai pihak, termasuk kepada ahli Pas, Nasaruddin Mat Isa, sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi Ramli dalam akuan bersumpahnya?

Jika wakil rakyat sendiri pun tidak dapat diberikan bantuan sewajarnya, bagaimana Najib, UMNO dan BN boleh dipercayai dalam janji-janjinya untuk membantu rakyat?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.