NAJIB ‘BAYAR BIL’ DI KAWASAN HISHAM

Pembangkang bakal menyasarkan Johor pada pilihan raya umum akan datang tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengambil mudah mengenainya.

Berucap pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Sembrong malam ini, Najib diapit oleh pemimpin-pemimpin Umno bahagian termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang merupakan anggota parlimen di kawasan itu.

Tujuan Najib jelas ketika ia menyatakan: “Kami datang, pastikan bumi Sembrong ini kekal kukuh dalam tangan Barisan Nasional”.

Perdana menteri kemudian berkata beliau akan “membayar bil” untuk rakyat Sembrong, tetapi meminta mereka juga “menunaikan hajat beliau”.

“Hari ini saya datang patut freelah tak payahlah bayar apa-apa. Tapi nampaknya Datuk Hisham siang-siang dah hantar bil. Dan dengan dia punya pantun sekali nak corner saya, dia kata alang-alang Datuk Seri nak datang, kami di Sembrong minta bantuan.

“Jadi hari ini saya dah kena corner, Datuk Zahid pun dah kena corner,” katanya ketika berucap di Stadium Mini Taman Seri Lambak, Sembrong, Kluang.

Najib kemudian mengumumkan pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi dua fasa dan 500 buah rumah untuk generasi kedua Felda di Felda Kahang yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Selain itu beliau turut mengumumkan pondok polis Taman Sri Lambak akan dinaik taraf kepada balai polis.

“Jadi tiga projek kita dah bayar bil perjumpaan malam ini kepada orang Sembrong. Saya dah tunaikan hajat tuan-tuan.Tuan-tuan kena tunaikan hajat saya, boleh?” soalnya disambut “boleh” oleh penyokong yang hadir.

Perhimpunan malam ini menyaksikan Najib turut diapit oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz.

Majlis rumah terbuka Aidilfitri itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Najib.

Pengumuman mengenai projek di Sembrong dibuat selepas Pakatan Harapan berhasrat menawan beberapa lagi kerusi parlimen di Johor termasuk Sembrong, Johor Bharu, Pasir Gudang, Tebrau, Tanjung Piai, Labis, Segamat, Sekijang, Pulai dan Sri Gading.

– M’kini

.