NAIB PRESIDEN PAS KESAL JEMAAH PARTI TAK PERTAHAN ADUN SELANGOR

NAIB Presiden PAS Iskandar Samad berkata beliau kesal kerana jemaah parti tidak tampil mempertahankan barisan wakil rakyatnya di negeri itu yang didakwa akan berpaling tadah untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan, Adun Cempaka itu berkata dakwaan itu sebenarnya hanyalah fitnah terhadap 13 wakil rakyat tersebut, termasuk dirinya sendiri.

“Saya lihat tidak ramai yang memberi sokongan kepada mereka ketika fitnah ini dilempar.

“Malah ada yang menempelak kalau hendak keluar, keluarlah. Ada pula yang berkata kalau hendak keluar, keluarlah sekarang, sebelum PRU,” katanya tanpa menyebut nama mana-mana individu.

Iskandar berkata beliau juga kesal kerana kesetiaan mereka selama ini tidak dihargai sehingga begitu mudah dituduh akan berpaling tadah menyertai PH.

“Seolah-olah bersetuju dengan berita yang disebar. Kenapa begitu cepat mempercayai fitnah tersebut?

“Kenapa meletakkan nilai dan integriti Adun PAS ini begitu rendah sehingga mengesyaki mereka akan melompat?” soalnya.

Walhal, 13 orang wakil rakyat ini tetap dengan pendirian dan setia pada presiden PAS ketika PKR melancarkan gerakan politik Langkah Kajang untuk menggulingkan menteri besar Khalid Ibrahim waktu itu, kata Iskandar.

“Adun inilah yang menyokong penuh keputusan presiden untuk mempertahankan Tan Sri Khalid.

“Walaupun tekanan dan pujukan diterima amat hebat sehingga dua Adun kecundang tetapi 13 Adun ini tidak berganjak,” kata Iskandar.

Gerakan politik Langkah Kajang itu membawa kepada krisis politik di Selangor pada 2014 dan perpecahan kerjasama politik PAS bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS pada asalnya diwakili 15 orang wakil rakyat dalam penggal DUN ini tetapi kini hanya tinggal 13 apabila Adun Hulu Kelang dan Morib menyertai parti Amanah.

Iskandar berkata beliau menganggap golongan yang membangkitkan dakwaan tersebut hanyalah “nasi tambah” dan hanya ingin menangguk di air keruh.

“Mereka tidak pernah walaupun 10% merasai tekanan yang dirasai oleh 13 orang Adun itu ketika Langkah Kajang.

“Kalau hendak dibangkitkan tentang hilang jawatan, kemungkinan kehilangan jawatan ketika itu adalah lebih tinggi.

“Jika mereka bimbang kehilangan jawatan maka sudah tentu mereka akan menurut jejak Hulu Kelang dan Morib,” katanya.

Iskandar dalam kenyataannya Sabtu lalu menafikan wakil rakyat tersebut akan keluar parti dan menyertai PKR, dalam “gelombang kedua”.

– https://www.themalaysianinsight.com

.