NAIB PRESIDEN PAS JANGKA PRU-14 BULAN MEI

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad meramalkan bahawa pilihan raya umum ke-14 akan diadakan pada bulan Mei tahun depan, berdasarkan maklumat yang diterima daripada agensi-agensi kerajaan dan faktor-faktor lain.

“Kesimpulan dibuat berdasarkan pelaksanaan projek-projek kerajaan persekutuan. Pada lazimnya projek-projek baru akan dilancarkan ketika tempoh kempen pilihan raya.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah juga mengeluarkan jadual taklimat untuk petugas-petugas pilihan raya,” kata Iskandar dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, katanya, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada akhir bulan Januari dan suasana perayaan itu akan berlarutan hingga Februari.

“Tentu sekali BN akan menggunakan peluang sambutan tersebut untuk berkempen dan mengumumkan gula-gula untuk rakyat.

“Kemudian secara tiba-tiba Parlimen akan dibubarkan pada akhir bulan Mac atau pada bulan April agar satu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari,” kata Iskandar yang juga ADUN Cempaka dan exco kerajaan Selangor.

Satu lagi pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi, katanya, adalah kelemahan ringgit dan masalah dalaman Umno yang pada pandangannya boleh menjadi semakin parah.

Mengenai PAS, Iskandar percaya parti itu adalah antara pembangkang terkuat dengan jentera pilihan raya yang mantap.

Menurutnya, PAS mempunyai kelebihan sebagai penyandang di Kelantan, dan ia juga memiliki kerusi yang banyak di Kedan, Terenganu dan Selangor.

PAS, katanya, mempunyai harapan cerah untuk merampas Kedah dan Terengganu.

Manakala perpaduan di kalangan ahli-ahli PAS, katanya, berada di dalam keadaan yang mantap setelah pimpinan yang kalah dalam pemilihan 2014 menubuhkan Parti Amanah Negara.

“Pimpinan dan ahli-ahli hari ini berada di dalam haluan yang sama,” katanya.

“Oleh yang demikian, kita perlu bersedia dengan pilihan raya umum yang mengejut. Selesaikan apa saja perkara yang belum diselesaikan dan lengkapkan segala persiapan.

“Inilah peluang terbaik untuk menumbangkan BN atau meluaskan penguasaan di negeri-negeri,” tambahnya.

MKINI

.