MUSTAHIL MAHATHIR KEMBALI JADI PERDANA MENTERI?

KOTA BHARU – Walaupun Pakatan Harapan membayangkan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bakal mengemudi bahtera kapal pembangkang, namun rakan-rakan parti yang lain berpendapat sebaliknya.

Umno Kelantan melihat perkara tersebut mungkin mustahil dan keputusan memilih dua pemimpin berpengaruh itu akan mendapat tentangan daripada rakan komponen pakatan.

Setiausahanya, Senator Datuk Hanafi Mamat bagaimanapun berkata, spekulasi tersebut menarik kerana ia memperlihatkan perkara yang mereka mahukan dalam Harapan itu sendiri.

“DAP tentu akan skeptikal kerana parti itu akan hanya sokong mereka yang berupaya menjatuhkan BN.

“Dari sudut kesesuaian, Tun Mahathir dalam usia sekarang sudah melampaui usia upaya memimpin. Tidak sesuai lagi, Robert Mugabe yang sangat kuat pun sudah berundur,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Hanafi berkata, walau siapa pun yang mengemudi Harapan selepas ini, beliau yakin dan optimis, rakyat lebih bijak memilih daripada terus membenarkan  negara ini dihancurkan.

“BN akan terus membela rakyat dan tidak sesekali membenarkan negara dan bangsa dijajah  dengan perjuangan yang tidak berobjektif,” katanya.

– Sinar Harian

.