MUSIBAH YANG BERLAKU KERANA KEALPA DIRI KITA SENDIRI

Topik yang mewarna dan meriuhkan media sosial dan juga media arus perdana waktu ini ialah mengenai tragedi menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittiqayyiah di Keramat Hujung semalam. Dalam kejadian itu seramai 23 orang pelajar dilaporkan terkorban. Sehingga catatan ini dibuat pengesahan mayat-mayat yang hangus dan rentung masih belum dikenal pasti.

Pihak keluarg
a masing-masing telah memberi contoh DNA untuk pengecaman mayat dan menanti dengan penuh sabar dan kehibaan untuk menuntut anak masing-masing.Tidak dapat dipastikan apakah upacara pengembumian setengah daripada mayat yang dikenal pasti sudah dilakukan atau pun tidak?

Peristiwa itu satu kelukaan buat kita semua dan juga negara. Ia adalah bencana besar buat negara kerana membabitkan kehilangan banyak jiwa. Ia mengejutkan dan sudah pasti menjadi berita dunia lebih besar dari pertemuan Najib Razak dengan Donald Trump yang digambarkan Malaysia ingin menyelamatkan ekonomi negeri Uncle Sam itu. Kejadian semalam sedikit sebanyak menenggelamkan hasrat besar Najib terhadap Amerika Syarikat.

Ia akan dicatat sebagai satu sejarah mentrajsikan. Tidak dapat dihindarkan kejadian semalam mendapat perhatian dan dipandang dari berbagai sudut oleh umum, positif dan negatif. Apa lagi yang mengalaminya sekolah pendidikan Islam — Darul Quran, yang dilihat sebuah pendidikan keagamaan yang mahu membawa manusia ke sisi Tuhan yang diharap akan lahir insan-insan yang bertakwal dan beriman kepada Allah untuk menjadi pemimpin di masa depan.

Memandangkan kejadian membabitkan pusat tahfiz, pondok atau institusi pendidikan Islam persendirian sering terjadi di negara ini maka timbul tanggapan negatif terhadap pendidikan ini. Dari rekod Bomba dan Penyelamat sejak tahun 2015 sebanyak lebih 200 kejadian berlaku kebakaran di pusat-pusat pendidikan berorentasi Islam, baik tahfiz maupun pondok. Kejadian tertimpa-timpa ini menyebabkan ada pandangan jengkil dari pihak yang sangsi dengan Islam selama ini. Kekerapan kejadian itu tidak pelik kalau agama Islam dipertikaikan.

Tidak boleh disalahkan kepada mereka yang menyinis kepada Islam atas kejadian itu, kerana ia terlalu kerap dan berulang, laksana semacam bersambungan. Apa yang berlaku itu juga sedikit sebanyak mencemarkan Islam itu sendiri yang dilihat sebagai tidak cekap, dan umatnya tidak mengambil berat dalam keselamatan jiwa manusia. Iya, benar takdir itu bisa menyambar sesiapa dan di mana sahaja, tetapi ia tidak seharusnya berlaku dalam keadaan yang sangat mudah begitu.

Kejadian seumpama pernah berlaku dalam tahun 1989 apabila Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Pandang Lumat Kedah, menyebabkan 29 orang pelajar terkorban. Seharusnya kejadian 28 tahun itu sudah diambil iktibar dan peringatan oleh semua pihak. Selamanya ia terpancang dalam minda kita.

Penguasa pusat tahfiz atau pondok, perlu bingkas dan menyemak mengenai asas-aasa keselamatan yang di premis masing-masing pada sepanjang masa. Ia bukan sahaja boleh dilakukan dengan cara berdoa sahaja, tanpa tindakan praktikal. Sikap ini sesuai dengan peringatan Tuhan bahawa setiap kejadian itu adalah petanda dan peringatan. Jika kita mengalpa dan mengabaikan, apakah tidak boleh kita digolongkan dalam golongan yang “lepa” (lalai)?

Mereka yang lalai, kalau di dalam solat, menyebabkan solat mereka tidak ke mana dan mereka akan di tempat juga dalam Neraka Weil.

Apabila kejadian atau bencana itu sering berlaku seharusnya kita semua, terutamanya pengusaha pusat-pusat pendidikan sebegitu berwaspada. Mengambil pengajaran atas apa yang pernah berlaku. Sikap menyerahkan diri kepada Allah kerana institusi itu ada kaitan dengan pendidikan agama, mahu membawa murid kepada Allah, adalah sikap yang salah. Ingatlah Tuhan tidak akan melindungi diri kita dunia dan akhirat sebelum kita berikhtiar melindungi diri sendiri?

Benar kata TPM, Ahmad Zahid Hamidi disamping inginkan akhirat, kepentingan — keselamatan dunia juga tidak boleh diabaikan. Begitu juga dengan ibubapa yang mahukan anak-anaknya menjadi insan kamil dengan memberi pendidikan akhirat, seharusnya tidak mengabaikan keselamatan duniawi, di pusat-pusat pendidikan yang ditempatkan itu. Ibubapalah yang perlu dipersalahkan atas kejadian seperti itu kerana menghantar anaknya ke pusat yang keselamatannya tidak terjamin. Bukankah tindakan itu sesuatu yang kejam?

Di sini saya tidak mahu menulis panjang mengenai peristiwa itu yang banyak diperkatakan bimbang disalah anggap atau mencabar dan menghina mana-mana pihak. Hanya apa yang ingin dirumuskan seperti berikut:

1. Apa yang berlaku itu perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak dan pihak kerajaan sendiri perlu tidak berkompromi membiarkan pusat-pusat pendidikan yang dibangunkan tanpa mengikut kriteria ditetapkan. Walaupun ia dinamakan pendidikan Islam, tetapi itu bukan alasan untuk tidak dikenakan tindakan seperti pesalah dari aspek lain. Penggunaan nama agama jangan dijadikan alat.

2. Cadangan dikemukakan oleh seorang Sultan agar pusat tahfiz yang ditubuh secara haram dinegerinya diharamkan, patut diperluaskan — guna pakai, juga dinegeri-negeri lain. Mulai sekarang semua sekolah tahfiz yang tidak berdaftar, mengikut standard dan piawaian keselamatan perlulah ditutup. Ia boleh dibuka setelah premis pusat berkenaan mengikut dan memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

4. Mana-mana pihak yang engkar menyebabkan berlaku kejadian itu ia boleh disifatkan melakukan suatu jenayah yang boleh dihukum di bawan Kanun Kesekaan lebih berat.

3. Pengusaha institusi begitu baik yang yang ikhlas atau pun menjadi pusat tahfiz sebagai institusi sumber hidup sambil berkebajikan dan berjuang, perlu insaf dengan apa yang berlaku. Mana-mana yang degil perlu dikenakan tindakan dan jangan sesekali mereka dibenarkan terlindung dibawah suaka politik.

4. Ibubapa yang obeses untuk melihat anak membesar sebagai seorang Islam, mukmin, guna menumpang tikit ke syurga dengan anak yang hafiz 30 juzu Quran, seharusnya berfikir dan membuat penyelidikan terperinci terhadap institusi atau sekolah yang mereka ingin mengirimkan anak-anak mendapat pendidikan di situ. Jangan kerana terlalu mengharap kepada syurga akhirnya kita akan menemui pintu ke neraka lebih awal.

5. Selepas ini kita berharap dan berdoa semoga kejadian menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyiqh itu dan juga yang lain-lain sebelum ini tidak akan berulang lagi, dalam keadaan yang begitu mudah dimana mengikut akal kita ia boleh diatasi kalau langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh pihak berkuasa dituruti sepenuhnya.

Akhirnya sama-sama kita berdoa semoga roh kesemua yang terkorban baik dalam kejadian semalam maupun sebelum ini diterima Allah dan keluarga mangsa tenang dan redha sepenuhnya atas apa yang berlaku. Kejadian menjelang Subuh 14 September itu dan lain juga sebenarnya mesej dari Tuhan kita Allah untuk semua kita yang bermukim di Malaysia ini yang waktu ini digulati dengan pelbagai masalah hidup.

– msomelayu.blogspot.sg

.