MUSA HITAM ALU-ALUKAN SURUHANJAYA SIASAT MEMALI, CADANG SELEPAS PRU14

SEBARANG siasatan diraja terhadap peristiwa Memali lebih tiga dekad lalu seharusnya dibuat selepas pilihan raya umum akan datang bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi, kata bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam hari ini.

Musa, menteri dalam negeri pada waktu itu, berkata peristiwa Memali tidak patut dijadikan satu permainan bola politik.

“Saya yakin mana-mana pihak yang benar-benar serius dan jujur, serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) ditangguhkan sehingga selesainya PRU14,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Musa menambah beliau menginsafi peristiwa Memali adalah satu titik hitam dalam sejarah negara yang “melibatkan terkorbannya nyawa warga negara kita” dan sebab itulah siasatan tersebut “hendaklah dilaksanakan dalam keadaan tenang lagi berfokus, tanpa prejudis dan pilih kasih”.

Musa mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tentang kesediaan kerajaan menubuhkan sebuahsuruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat semula insiden yang berlaku pada era Mahathir itu.

Musa berkata beliau tiada masalah sekiranya kerajaan mahu menubuhkan suruhanjaya diraja itu asalkan niatnya betul untuk mencari kebenaran dan bukannya untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek sehingga mengorbankan kebenaran.

Dalam kenyataannya, Musa menarik perhatian bagaimana suara yang pro dan kontra terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu menggambarkan seolah-olah peristiwa Memali ini isu biasa politik yang mahu digunakan untuk meraih undi oleh mereka “yang bernafsu mengeksploitasi laba politik”.

“Keadaan mahu mempolitikkan segala-galanya yang sedang berlaku dalam negara ketika ini adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Musa berkata beliau tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk terburu-buru menyiasat semula peristiwa 32 tahun lalu itu kerana selama ini tidak ada tindakan untuk mencari kebenaran, selain kertas putih yang bentangkan di Parlimen.

“Di sebaliknya, dengan menangguhkan penubuhan dan prosiding Suruhanjaya Diraja untuk beberapa bulan lagi, akan meletakkan kredibiliti yang lebih tinggi kepada suruhanjaya tersebut, yang akan kelihatan bebas daripada suasana panas dalam musim politik yang begitu bergelora menjelang PRU14,” katanya.

Sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Musa menandatangani kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan ke Parlimen bertarikh 25 Februari, 1986.

Musa tiga tahun lalu mendedahkan Dr Mahathir Mohamad ada di dalam negara semasa kejadian dan memohon bekas perdana menteri itu menangguhkan lawatannya ke China tetapi Dr Mahathir enggan dan meminta beliau menguruskan isu Memali.

Dr Mahathir dalam reaksinya berkata beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya itu ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden Memali.

Dalam satu wawancara dengan Astro Awani tahun lalu Musa berkata beliau sudah penat menanggung beban sejarah jadi kambing hitam dipertanggungjawabkan atas kematian 18 orang termasuk empat anggota polis, “selama 30 tahun dikatakan jadi pembunuh”.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Zahid menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian “sekiranya ada permintaan”.

Kenyataan Zahid itu dialu-alukan oleh PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris keluarga bertemu Zahid di Putrajaya.

Dua bekas ketua polis negara, Mohamed Hanif Omar dan Abdul Rahim Noorbagaimanapun mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan yang sudah selesai.

Rahim malah mengingatkan PAS, siasatan semula itu akan mendedahkan peranan Hadi mempengaruhi pemikiran politik Islam pada masa itu melalui amanatnya yang memuncak jadi peristiwa berdarah di Memali.

– https://www.themalaysianinsight.com

.