Mursyidul Am: ‘Pemangku sudah ada’

JOHOR BAHRU – Tiada keperluan mendesak untuk melantik Mursyidul Am Pas menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia, 16 September lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, buat masa ini jawatan itu disandang pemangkunya, yang juga Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob.

“Pelantikan mursyidul am dan timbalannya mestilah melalui Mesyuarat Majlis Syura Ulamak, di mana ada 15 ahli.

“Sekarang ni ada 14 orang dan mungkin akan dilantik seorang lagi. Mereka akan bermesyuarat, keputusan ini terpulang kepada majlis syura untuk melantik siapa dalam kalangan mereka.

“Tidak boleh orang luar dan pada masa ini, tiada keperluan mendesak sangat kerana pemangkunya sudah ada,” katanya selepas Sidang Meja Bulat mengenai isu berkaitan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 di sini, semalam.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, usul pindaan akta itu dijangka didengar di Parlimen pada sesi akan datang.

“Kita ada sesi Parlimen pada 17 Oktober dan kita harap usul ini akan dibahaskan pada minggu pertama persidangan ini sebelum Bajet 2017.

“Pas akan sokong meskipun usul ini dibawa Amanah atau Umno sekalipun, kerana ia bukan isu politik dan kami tidak berebut mendapatkan mileage, tetapi kerana perjuangan untuk Islam,” katanya. – Sinar Harian

.