SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, strategi satu lawan satu adalah strategi terbaik menewaskan BN, yang pengaruhnya semakin lemah.

Hashim berkata, Pas mempunyai sikap sangat terbuka untuk bekerjasama dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang.

“Kerjasama politik adalah pendekatan sangat penting dalam menjatuhkan kezaliman kerajaan BN pada PRU14.

“Justeru, Pas mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam soal ini, dan sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang,” katanya.

Namun katanya, sebagai parti berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman luas dalam politik serta pilihan raya di negara ini, Pas tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam.

Menurutnya, Pas berpandangan tahaluf siyasi yang mahu dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam.

“Pas telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai Ikatan dan Berjasa.

“Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan Pas pada PRU14, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam.

“Tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam,” katanya.

Hashim berkata, bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, pihaknya bersedia membubarkan Pas.

“Ini prinsip kerjasama dipimpin oleh Islam, yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama.

“Pihak menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan Pas, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai pemimpin dalam kerjasama ini,” katanya.

 SINAR HARIAN
.